
PETALING JAYA: Sistem perbankan Malaysia kekal mempunyai penampan kewangan kukuh untuk menghadapi kemungkinan kemerosotan keadaan ekonomi dan kewangan dengan nisbah jumlah modal berada pada 17.9 peratus daripada aset berwajaran risiko setakat Jun 2026.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, nisbah berkenaan kekal jauh melebihi keperluan kawal selia, sekali gus mencerminkan keupayaan bank menyerap kejutan ekonomi dan kewangan tanpa menjejaskan fungsi pengantaraan kredit.
“Daya tahan sektor perbankan turut disokong prestasi keuntungan yang kukuh, dengan pulangan atas ekuiti dan pulangan atas aset masing-masing berada pada 11.5 peratus dan 1.3 peratus.
“Risiko kredit juga kekal terkawal apabila nisbah kemerosotan nilai agregat tidak berubah pada 1.4 peratus berbanding Mac 2026, manakala bahagian pinjaman Tahap 2 menurun kepada 5.9 peratus daripada 6.1 peratus dalam tempoh sama.
“Bank turut mengekalkan peruntukan berhemat dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman, termasuk rizab kawal selia, pada 124.6 peratus,” katanya dalam artikel rencana bertajuk ‘Melangkaui Harga Minyak: Daripada Konflik Geopolitik kepada Risiko Kestabilan Kewangan’.
Dari segi mudah tunai dan pendanaan, kedudukan sektor perbankan kekal kukuh apabila Nisbah Perlindungan Mudah Tunai dan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih masing-masing berada pada 149.6 peratus dan 114.7 peratus, jauh melebihi paras minimum kawal selia.
“Jumlah mudah tunai sistem perbankan juga kekal mencukupi, disokong operasi mudah tunai BNM, sekali gus menyediakan penampan kepada bank untuk menghadapi kemungkinan kejutan pendanaan dan kecairan.
“Bagaimanapun, kos pendanaan bagi sesetengah instrumen meningkat secara beransur-ansur, sebahagiannya susulan persaingan lebih sengit untuk mendapatkan deposit.
“Perkembangan itu memberi sedikit tekanan terhadap kos pendanaan bank, meskipun peningkatannya berbeza mengikut instrumen.
“Namun, peningkatan kos berkenaan setakat ini tidak membawa kepada tekanan pendanaan secara menyeluruh atau menjejaskan keupayaan bank untuk terus menyalurkan kredit,” ujarnya.
BNM berkata, keadaan pendanaan luaran turut kekal menggalakkan dengan akses kepada pendanaan dalam mata wang asing terus disokong pasaran yang berfungsi dengan baik.
Katanya, sementara itu, sektor insurans dan takaful turut mengekalkan daya tahan, disokong kedudukan modal yang kukuh.
“Sehingga Jun 2026, nisbah kecukupan modal agregat sektor itu berada pada 225 peratus, jauh melebihi paras minimum kawal selia.
“Prestasi tuntutan kekal secara umumnya stabil, manakala pertumbuhan perniagaan baharu, pembayaran serahan polisi yang rendah dan prestasi pelaburan yang menggalakkan terus menyokong keuntungan sektor berkenaan.
“Pendedahan langsung sektor insurans dan takaful kepada wilayah yang terjejas akibat konflik juga terhad, dengan sebahagian besarnya tertumpu kepada segmen marin, penerbangan dan transit.
“Pendedahan itu hanya merangkumi 0.4 peratus daripada jumlah premium kasar, manakala sokongan insurans semula yang berterusan turut membantu mengurangkan risiko berkaitan,” jelasnya.
Tambahnya, bagaimanapun, konflik yang berlarutan berpotensi meningkatkan turun naik tuntutan susulan kenaikan kos pembaikan, penggantian, pengangkutan dan insurans semula. – UTUSAN
The post Sistem perbankan kukuh hadapi risiko ekonomi, kewangan global appeared first on Utusan Malaysia.






