Sivasangari prospek emas skuasy di Sukan Asia

3 Sep 2026 • 7:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sivasangari prospek emas skuasy di Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mempertaruhkan bintang skuasy No. 5 dunia, S. Sivasangari sebagai prospek utama pingat dengan sasaran keseluruhan dua emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun pada 19 September hingga 4 Oktober ini. 

Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, skuad kebangsaan akan menurunkan barisan terkuat dengan Sivasangari dan Ng Eain Yow yang merupakan pemain No. 18 dunia mengetuai cabaran di Jepun.

“Komitmen kami sebenarnya adalah dua pingat emas. Sudah tentu tekanan ada pada kami kerana Sukan Asia yang lalu, kami pulang dengan tiga emas.

“Jadi Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengharapkan sekurang-kurangnya mesti tiga pingat emas, tetapi, kita harus realistik. Kami akan lakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita di Institut Sukan Negara (ISN) dekat sini, semalam. 

Beliau berada di ISN kerana melawat pemain muda negara, Harith Danial Jefri yang menjalani proses pemulihan selepas pembedahan anterior cruciate ligament (ACL) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, minggu lalu.

Menurut Monteiro, Malaysia akan bertanding dalam semua acara iaitu individu lelaki dan wanita, beregu campuran serta berpasukan lelaki dan wanita.

Walaupun memilih jalan selamat menyasarkan dua pingat emas, beliau memberitahu, barisan pemain negara yang turut mempertaruhkan pasangan adik beradik, Aira Azman (No. 21 dunia) dan Aifa (No. 22 dunia), berpeluang cerah membawa pulang pingat dalam acara perseorangan lelaki, wanita, beregu campuran dan berpasukan wanita.

“Perlawanan akhir individu dan beregu campuran bakal berlangsung pada Sabtu, 26 September. Harap pemain kami boleh memberikan pingat, Sivasangari dan Eain Yow adalah pilihan pertama, manakala, beregu campuran juga diletakkan sebagai pilihan utama,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihaknya enggan terlalu teruja meletakkan sasaran sehingga meninggalkan tekanan ke atas pemain, tetapi, untuk mengulangi pencapaian pada temasya lalu, tidak mustahil.

Sementara itu, bercakap tentang proses pemulihan Harith, Monteiro menjelaskan, SRAM akan memberi sokongan penuh kepada pemain itu agar dia kembali pulih sebelum Sukan SEA 2027.

“Kita tidak akan mendesak. Kita akan pastikan program rehabilitasi disusun dengan betul supaya dia dapat pulih dengan baik dan ia tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

The post Sivasangari prospek emas skuasy di Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved