
KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi meletakkan sasaran untuk sekali lagi berada di podium pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, namun kali ini mahu menukar warna pingat gangsa yang diraihnya pada edisi lalu.
Azeem, 22, berkata pengalaman meraih gangsa dalam acara 100 meter (m) pada Sukan Asia Hangzhou 2023 menjadi pembakar semangat untuknya memburu pencapaian lebih baik di Jepun nanti.
“Untuk Sukan Asia, saya rasa macam edisi sebelum ini saya berjaya memenangi pingat gangsa. Sudah tentu untuk Sukan Asia pada tahun ini, sasaran itu adalah sama iaitu untuk berada di atas podium.
“Tetapi insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik untuk mengubah warna pingat (mendapatkan emas atau perak),” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Kontinjen ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Datuk Wira Mohd Sumali Reduan di Bukit Jalil.
Azeem melakukan catatan musim terbaiknya dengan merekodkan masa 10.09 saat (s) sekali gus menyamai rekod kebangsaan miliknya ketika beraksi di suku akhir 100m kelayakan NCAA di Oregon, Mei lalu.
Bagaimanapun antara pencabar utama yang bakal diterima Azeem pada temasya itu nanti adalah jaguh pecut Thailand, Puripol Boonson yang melakukan catatan masa terbaik musim ini 9.99s.
Selain itu, Ali Al Balushi dari Oman dengan catatan 10.07s, pelari Jepun Yoshihide Kiryu (10.03s), selain dua wakil China, Deng Xinrui (10.09s) dan Xie Zhenye (10.10s).
Azeem bakal beraksi Grand Prix Muscat, Oman iaitu kejohanan bertaraf Gangsa Siri Jelajah Benua Olahraga Dunia, Sabtu ini, menjadi persiapan terakhirnya sebelum beraksi di temasya terbesar di Asia yang akan diadakan pada 19 September hingga 4 Oktober.
Sementara itu, Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Mohd Manshahar Abd Jalil menyifatkan sasaran Azeem untuk berada di podium sebagai sesuatu yang realistik.
“Bagi saya, dia berkeyakinan untuk melakukannya dan sebagai jurulatih saya yakin dia boleh. Kalau dia boleh lakukan bawah 10 saat itu satu bonus bukan sahaja untuk Azeem tetapi negara. Jadi, Saya harap boleh lakukan sesuatu di sana.
“Itu yang dikatakan (Azeem mahu lakukan bawah 10 saat) dan saya juga yakin bahawa itu apa yang dia rasakan dan kita yakin bahawa dia boleh buat berdasarkan hari kejohanan sebenar,” katanya. – UTUSAN
The post Azeem tekad ubah warna pingat di Aichi-Nagoya appeared first on Utusan Malaysia.





