
USIA bukan penghalang buat penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong untuk terus memberikan saingan di pentas Sukan Asia Aichi Nagoya 2026 dengan pengalaman luas menjadi antara kekuatan utamanya di temasya itu.
Jurulatihnya Ooi Tze Liang yakin dengan kemampuan Pandelela untuk memberikan persembahan terbaik, namun aspek kecergasan fizikal dan persiapan antara perkara yang perlu diberikan perhatian penuh untuk meningkatkan prestasi atlet itu.
“Dari segi pengalaman, saya memang yakin dan sekarang kita perlu mengekalkan fizikal dan mental serta meningkatkan persiapan untuk memperbaiki prestasi di Sukan Asia.
“Kali ini kita mengikuti kem latihan di China dan ini membantu meningkatkan persiapan. Kita akan bantu dan bekerjasama dengan Pandelela untuk meningkatkan prestasinya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pandelela, 33, penerjun paling berpengalaman dalam skuad negara akan menyertai acara 10 meter (m) platform wanita pada temasya itu yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Tze Liang yang mempunyai hubungan cukup rapat dengan Pandelela kerana pernah ‘terjun’ sebagai atlet sebelum beralih kepada kejurulatihan yakin Pandelela mempunyai semangat juang tinggi untuk memburu kejayaan dalam temasya itu.
Beliau meminta Pandelela supaya tidak terlalu memikirkan pandangan negatif orang luar termasuk komen di media sosial yang mempertikaikan faktor usianya.
“Sebagai atlet profesional, dia perlu bijak menangani situasi seperti ini. Fokus kepada situasi semasa dan apa yang perlu dilakukan. Itu paling penting, yang lain biarkan kerana kita tidak boleh mengawalnya,” katanya.
The post Pandelela belum hilang aura appeared first on Kosmo Digital.






