Kelington kongsi kepakaran percepat pembangunan kilang semikonduktor Tata Electronics di India

WorldBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 1:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelington kongsi kepakaran percepat pembangunan kilang semikonduktor Tata Electronics di India Image from: Kelington kongsi kepakaran percepat pembangunan kilang semikonduktor Tata Electronics di India hamden21/09/2026 - 13:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept - Kelington Group Bhd menjalin kerjasama dengan Tata Electronics bagi menyokong pembangunan kilang fabrikasi semikonduktor (Fab) di Dholera, Gujarat, India.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, kerjasama yang diumumkan pada 18 September 2026 itu membolehkan Kelington menyokong penyediaan infrastruktur dan sistem kritikal yang diperlukan bagi pembuatan semikonduktor, sekali gus membantu mempercepatkan kesiapsiagaan operasi kemudahan tersebut untuk pengeluaran wafer silikon.

 

Tata Electronics merupakan peneraju dalam sektor pembuatan elektronik dan semikonduktor India, manakala Kelington ialah penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu dari Malaysia.

 

Selain penyediaan infrastruktur dan sistem, kedua-dua syarikat turut akan meneroka pembangunan bakat tempatan serta keupayaan kejuruteraan reka bentuk dan pembinaan termaju di India.

 

Menurut Tata Electronics, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat dalam menyokong pertumbuhan keupayaan pembuatan semikonduktor India dan menjadi pemangkin penting bagi memastikan pelaksanaan projek Fab Dholera mengikut jadual.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tata Electronics, Dr Randhir Thakur berkata, pembinaan Fab semikonduktor memerlukan kerjasama merentasi ekosistem luas yang mempunyai rakan kongsi dengan kepakaran teknikal mendalam.

 

Beliau berkata pemasangan peralatan (tool hookup) merupakan elemen kritikal dalam membangunkan persekitaran Fab yang boleh dipercayai, cekap dan berprestasi tinggi, selain membolehkan integrasi lancar peralatan canggih serta menyokong kecemerlangan operasi sejak hari pertama.

 

“Bersama-sama, kami akan mewujudkan persekitaran pembuatan semikonduktor bertaraf dunia yang akan menyumbang kepada aspirasi semikonduktor India, selain mencapai matlamat kami untuk menghantar cip berkualiti tinggi kepada pelanggan global mengikut jadual,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kelington, Lim Seng Chuan berkata, cadangan kerjasama bagi kemudahan Tata Electronics di Dholera itu dirangka bagi memenuhi keperluan ketat sektor pembuatan semikonduktor.

 

“Dengan komitmen bersama terhadap kecemerlangan pelaksanaan, kerjasama ini akan menyokong pembangunan infrastruktur kritikal bagi kemudahan Dholera serta menyumbang kepada pertumbuhan industri semikonduktor India,” katanya.

 

Kemudahan pembuatan cip Dholera merupakan antara tonggak utama aspirasi Tata Electronics dalam sektor semikonduktor membabitkan pelaburan keseluruhan sehingga AS$11 bilion.

 

Kemudahan Fab berukuran 12 inci (300 milimeter) itu akan menghasilkan produk semikonduktor untuk pelbagai aplikasi termasuk automotif, peranti mudah alih dan kecerdasan buatan (AI), bagi memenuhi permintaan pelanggan domestik dan global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved