johardy17/08/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos - Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) melancarkan kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Kisah ‘Kepoh Bisnes’, yang mengetengahkan budaya suka mengambil tahu sebagai satu bentuk keprihatinan dan sokongan sesama rakyat Malaysia.
Kempen bertemakan Malaysia Kita, Impian Bersama itu menampilkan sebuah filem pendek dibintangi pelakon Aishah Azman sebagai Aishah, seorang usahawan muda yang berusaha mengembangkan perniagaan inap desa.
Kisah itu menggambarkan bagaimana individu yang sering bertanya mengenai perkembangan perniagaan seseorang juga boleh menjadi antara yang pertama tampil membantu apabila usahawan berdepan kesukaran.
Pegawai Utama SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil berkata, kempen berkenaan meraikan cara unik rakyat Malaysia menunjukkan rasa ambil berat dengan mengambil tahu, melibatkan diri dan menyokong impian antara satu sama lain.
“Di SJPP, kami percaya bahawa kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya bergantung kepada pembiayaan semata-mata, tetapi turut didorong oleh kepercayaan dan sokongan daripada orang yang berada di sekeliling kita.
“Menerusi Kisah ‘Kepoh Bisnes’, kami mahu meraikan satu sifat unik rakyat Malaysia yang mencerminkan semangat untuk sentiasa mengambil berat antara satu sama lain, di samping memperkukuh komitmen SJPP dalam membantu usahawan mendapatkan akses kepada pembiayaan untuk merealisasikan aspirasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

`Kepoh’ sebagai tanda keprihatinan
Kempen itu mengambil pendekatan berbeza terhadap istilah ‘kepoh’ yang lazimnya dikaitkan dengan sikap terlalu ingin tahu, dengan menggambarkannya sebagai satu cara rakyat Malaysia menunjukkan keprihatinan terhadap orang di sekeliling mereka.
Menurut SJPP, sikap itu boleh diterjemahkan melalui tindakan mengambil tahu perkembangan seseorang, meraikan kejayaan mereka dan bersedia menghulurkan bantuan apabila diperlukan.
Juanita berkata, tema ‘Malaysia Kita, Impian Bersama’ membawa mesej bahawa sesuatu impian menjadi lebih bermakna apabila terdapat individu dan komuniti yang percaya serta memberikan sokongan.
Beliau berkata, kerjasama rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dan komuniti mampu membuka lebih banyak peluang, membantu membina perniagaan yang lebih kukuh serta mewujudkan masa depan lebih baik.
Kempen berkenaan akan berlangsung sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, selepas filem Kisah ‘Kepoh Bisnes’ dilancarkan pada 14 Ogos 2026.
SJPP turut merancang beberapa peraduan media sosial yang membolehkan rakyat Malaysia berkongsi kisah mengenai sokongan dan keprihatinan sesama mereka serta berpeluang memenangi hadiah.
Sorot risiko tawaran pembiayaan tidak sah
Dalam filem itu, Aishah digambarkan mengendalikan sebuah inap desa yang berkembang lebih pantas daripada jangkaannya sehingga berdepan beberapa cabaran termasuk tempahan bertindih, masalah sistem dan pelanggan yang tidak berpuas hati.
Dia turut berdepan nasihat keluarga yang berterusan serta dua jiran yang sering mengambil tahu mengenai perkembangan perniagaannya.
Filem penuh Kisah ‘Kepoh Bisnes’ boleh ditonton menerusi YouTube: Kisah 'Kepoh Bisnes' SJPP
TikTok:
https://www.tiktok.com/@sjppmy/video/7673706429877914901?is_from_webapp=1
Konflik memuncak apabila Aishah hampir terpedaya dengan tawaran pembiayaan perniagaan tidak sah daripada penipu sebelum dua jirannya tampil membantu dengan memperkenalkannya kepada SJPP dan skim jaminan pembiayaan yang tersedia.
Menerusi jalan cerita itu, SJPP turut mengetengahkan kepentingan mendapatkan pembiayaan melalui saluran dipercayai serta peranannya dalam memudah cara akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
SJPP menyediakan jaminan pembiayaan Kerajaan melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian bagi membantu PKS mendapatkan akses kepada pembiayaan.
Juanita berkata, SJPP berharap kempen itu dapat mendorong rakyat Malaysia melihat tindakan kecil seperti bertanya khabar dan menawarkan bantuan sebagai sesuatu yang boleh memberikan kesan lebih besar kepada individu serta komuniti.
“Kami berharap Kisah ‘Kepoh Bisnes’ dapat membuka mata kita kepada tindakan-tindakan kecil yang sebenarnya membawa makna besar, daripada bertanya khabar hinggalah menghulurkan bantuan,” katanya. - DagangNews.com





