SUKMA 2026: MBI terajui majlis perasmian, angkat tema “Di Sinilah Lahirnya Juara”

12 Aug 2026 • 5:05 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: MBI terajui majlis perasmian, angkat tema “Di Sinilah Lahirnya Juara”

SHAH ALAM, 12 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerajui penganjuran Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan, di sini pada 15 Ogos.

Majlis berkenaan bakal menandakan kepulangan temasya sukan kebangsaan itu ke Selangor selepas 28 tahun, selain menjadi wadah meraikan semangat kesukanan, perpaduan dan kecemerlangan atlet muda Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato' Saipolyazan M Yusop berkata kepercayaan diberikan kepada MBI untuk menerajui majlis perasmian itu merupakan satu penghormatan besar kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA selepas hampir tiga dekad.

Image from: SUKMA 2026: MBI terajui majlis perasmian, angkat tema “Di Sinilah Lahirnya Juara”
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato' Saipolyazan M Yusop

"MBI berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menerajui Majlis Perasmian yang meraikan kecemerlangan, semangat dan pengorbanan para atlet.

“Melalui kerjasama pelbagai pihak, kami berharap penganjuran ini bukan sahaja menjadi pengalaman yang membanggakan buat seluruh rakyat Malaysia, malah meninggalkan legasi yang berkekalan kepada pembangunan sukan, belia dan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertemakan “Di Sinilah Lahirnya Juara”, majlis perasmian itu bukan sekadar simbol pembukaan temasya, sebaliknya mengetengahkan perjalanan seorang juara yang bermula daripada impian, pengorbanan dan disiplin sebelum mencapai kejayaan.

Persembahan yang disusun turut menggabungkan elemen seni, budaya, muzik, teknologi dan penceritaan visual bagi mengangkat semangat kesukanan serta kebanggaan rakyat Malaysia.

Image from: SUKMA 2026: MBI terajui majlis perasmian, angkat tema “Di Sinilah Lahirnya Juara”
EXCO Belia, Sukan dan Pengerusi SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026, Najwan Halimi melakukan flag off di ketuai Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah ketika hadir dalam Kuala Langat merdeka run sempena Larian Obor Sukma Selangor 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 2 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Antara acara yang bakal menjadi tumpuan ialah perarakan kontinjen negeri, upacara rasmi pembukaan, persembahan kreatif, larian terakhir obor SUKMA dan upacara penyalaan kawah SUKMA.

Keseluruhan pengisian berkenaan dirangka bagi mencerminkan imej Selangor sebagai negeri progresif selain mengetengahkan semangat kecemerlangan dalam kalangan atlet muda.

Penganjuran majlis perasmian itu turut menyaksikan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta menerusi penglibatan sektor korporat dalam pembangunan sukan dan belia.

MBI tampil sebagai penganjur dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor selaku Rakan Penaja Utama.

Turut menyokong sebagai Rakan Penaja Platinum termasuklah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd, Worldwide Holdings Berhad, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (Aquasel) dan Bisabi Sdn. Bhd.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Telekom Malaysia Berhad dan Maxis Broadband Sdn. Bhd. tampil sebagai Rakan Teknologi menerusi sumbangan secara barangan atau perkhidmatan (in-kind).

Image from: SUKMA 2026: MBI terajui majlis perasmian, angkat tema “Di Sinilah Lahirnya Juara”
Kendera saji menyediakan pelbagai pilihan makanan dan minuman kepada pengunjung sempena Majlis Pembukaan SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Foto janaan AI

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan berkenaan yang turut menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk jualan makanan dan minuman kendera saji.

Seramai 500 pengunjung terawal berpeluang mendapatkan kupon bernilai RM10 untuk pembelian di kendera saji.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved