SKMM siasat kandungan hina agama Islam, libatkan unsur 3R

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 9:39 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SKMM siasat kandungan hina agama Islam, libatkan unsur 3R

SHAH ALAM, 25 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan menerima aduan berhubung kes memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R yang melibatkan penghinaan terhadap agama Islam di platform media sosial Facebook.

SKMM memaklumkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform komunikasi yang melanggar undang-undang.

Selain menjalankan siasatan, suruhanjaya itu akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

"Bantuan teknikal serta sokongan kepakaran digital akan diberikan kepada PDRM sekiranya diperlukan," kata kenyataan itu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

SKMM memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berkaitan agama kerana perbuatan itu berpotensi mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat.

Menurut kenyataan itu lagi, penyebaran kandungan sedemikian juga boleh menjejaskan perpaduan masyarakat serta menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.

"Sehubungan itu, SKMM mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.

"Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan bersifat jelik melampau, penghinaan atau menghasut, khususnya yang melibatkan agama," kata kenyataan itu lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved