Skuad wanita Afghanistan hidupkan semula impian bola sepak

22 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Skuad wanita Afghanistan hidupkan semula impian bola sepak

MEREKA pernah bermain bola sepak secara rahsia, menyembunyikan wajah ketika beraksi dan menanam pingat serta trofi di halaman rumah demi melindungi impian masing-masing.

Kini, 23 pemain bola sepak wanita Afghanistan yang hidup dalam buangan kembali berkumpul sebagai satu pasukan di New Zealand, membawa bersama kisah perjuangan, kehilangan dan harapan untuk terus mewakili negara mereka.

“Teruskan kuat seperti biasa kerana kita mewakili wanita Afghanistan,” kata pemain tengah, Fatima Haidari, kepada rakan sepasukan dalam Afghan Women United.

Tepukan bergema di dalam bilik yang dihiasi bendera Afghanistan, sementara lagu patriotik turut dimainkan. Ketika mereka menyanyi bersama, sebahagiannya mula sebak dan menahan air mata.

Sebelum mula beraksi, mereka berkumpul buat kali terakhir dalam satu bulatan sambil menerima kata-kata semangat daripada jurulatih.

Skuad berkenaan terdiri daripada 23 pemain yang dipilih dalam kalangan pemain Afghanistan yang kini menetap di luar negara. Mereka berada di New Zealand untuk menjalani kem latihan dan mengadakan dua perlawanan persahabatan tidak rasmi menentang Kepulauan Cook.

Ini merupakan kali pertama mereka berkumpul sejak badan induk bola sepak dunia, FIFA, memutuskan pemain berkenaan boleh mewakili Afghanistan dalam perlawanan rasmi pada masa akan datang.

Sebelum ini, mereka perlu mendapatkan kelulusan Persekutuan Bola Sepak Afghanistan untuk beraksi bagi pihak negara, sesuatu yang sangat mustahil selepas Taliban kembali memerintah pada Ogos 2021.

Image from: Skuad wanita Afghanistan hidupkan semula impian bola sepak

Pemerintahan Taliban menetapkan pelbagai sekatan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk larangan melanjutkan pengajian di sekolah menengah serta universiti, bekerja dalam kebanyakan sektor dan menyertai sukan.

Pasukan bola sepak kebangsaan wanita Afghanistan yang ditubuhkan pada 2007 juga tidak lagi dapat beraksi, menyebabkan anggotanya terpaksa meninggalkan negara dan ditempatkan semula di beberapa negara termasuk Australia, United Kingdom (UK) dan Portugal.

PASUKAN PELARIAN

Selepas bertahun-tahun berkempen, sebuah pasukan pelarian diwujudkan dan kemudiannya dikenali sebagai Afghan Women United.

Pengiktirafan FIFA itu kini membuka peluang kepada pasukan berkenaan untuk cuba melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Namun, untuk kembali berkumpul sebagai satu pasukan bukanlah sesuatu yang mudah. Sebagai pencari suaka yang menetap di negara berbeza, mereka berdepan kesukaran mendapatkan dokumen perjalanan diperlukan untuk menjalani latihan bersama sepanjang lima tahun lalu.

Bagi Manozh Noori, bola sepak bukan sekadar sukan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya untuk keluar daripada Afghanistan.

Noori membesar bermain bola sepak bersama kanak-kanak lelaki di jalanan Kabul sebelum secara rahsia menyertai kelab tempatan selepas melihat bola sepak wanita di televisyen.

Dia tahu abangnya tidak akan ‘merestui’ minatnya itu, menyebabkan Noori memakai penutup muka bagi mengelakkan dirinya dikenali ketika bermain.

Selama enam tahun, Noori memenangi kejuaraan liga, kebangsaan dan beberapa anugerah individu sehingga kejayaannya tidak lagi dapat disembunyikan.

Sekitar 2018, rakan sepasukannya memujuk menanggalkan penutup muka ketika ditemu bual televisyen. Rakaman itu kemudian disiarkan dalam berita bersama sorotan perlawanan mereka.

Image from: Skuad wanita Afghanistan hidupkan semula impian bola sepak

Abangnya kemudian berang selepas mengetahui perkara itu dan mengugut untuk memutuskan hubungan keluarga jika Noori tidak berhenti bermain bola sepak.

Noori kemudiannya berhenti bermain seketika sebelum kembali meneruskan impian itu apabila seorang lagi abangnya yang menetap di Jerman menghantar wang bagi membantu membiayai cita-citanya.

Apabila Taliban mengambil alih Afghanistan pada 2021, Noori membuat keputusan untuk melarikan diri. Sebelum meninggalkan negara, dia menanam pingat dan trofi bola sepak di halaman rumah keluarga.

Bola sepak juga membantu Noori membawa ibu dan adik perempuannya keluar dari Afghanistan. Dua tahun selepas berpindah ke Australia, dia berjaya membawa mereka turut menetap di negara itu.

The post Skuad wanita Afghanistan hidupkan semula impian bola sepak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved