Separuh akhir bola sepak wanita: Selangor pertaruh ketajaman trio penyerang

17 Aug 2026 • 3:14 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Separuh akhir bola sepak wanita: Selangor pertaruh ketajaman trio penyerang

SHAH ALAM, 17 OGOS: Selangor mempertaruhkan ketajaman barisan penyerangnya untuk merobek gawang Perak dalam aksi separuh akhir bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, malam ini.

Tiga penyerang, Tegen Su-Yin Butler, Nur Laila Syamila A Rahim dan Kaseh Carmilla Az Zahra Mohd Ridhuwan menjadi sandaran Selangor untuk menghasilkan jaringan dalam pertemuan berkenaan.

Setakat ini, Tegen dan Nur Laila Syamila masing-masing sudah meledak dua gol sepanjang kempen SUKMA 2026.

Penolong Jurulatih Selangor, Felicia Adele Ng, berkata ketiga-tiga pemain berkenaan diharapkan dapat memenuhi sasaran pasukan untuk menghasilkan jaringan, tanpa mengira siapa yang diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Kami melihat kepada dua atau tiga penyerang kami iaitu Tegen, Nur Laila Syamila dan Kaseh Carmilla. Ketiga-tiga mereka perlu memenuhi jangkaan untuk menghasilkan gol dalam perlawanan ini, tidak kira siapa yang bermula,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Dalam pada itu, Felicia mengakui Selangor perlu melakukan perubahan taktikal susulan ketiadaan Zafirah Zulaikha Mohamad Zuhri yang dilayangkan kad merah sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau yakin perubahan berkenaan tidak akan menjejaskan persiapan pasukan kerana semua pemain memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam aksi separuh akhir yang disifatkan sebagai perlawanan hidup mati.

“Sudah tentu ada perubahan taktikal selepas Zafirah dilayangkan kad merah. Tetapi apa pun perubahan yang berlaku, semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan memahami bahawa ini perlawanan hidup mati di peringkat separuh akhir.

“Jadi, sesiapa yang diturunkan wajib berjuang habis-habisan,” katanya.

Selangor kini memburu kemenangan ke atas Perak bagi memastikan tiket ke final acara bola sepak wanita, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada SUKMA Sarawak 2024.

Selangor dijadualkan bertemu Perak pada aksi separuh akhir bola sepak wanita di Stadium Selayang, malam ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved