SMK Sanglang, SK Manir ungguli AIA Healthiest Schools 2026

LocalHealth & Fitness
2 Sep 2026 • 6:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SMK Sanglang, SK Manir ungguli  AIA Healthiest Schools 2026

Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools (AHS) 2026 yang berlangsung baru-baru ini menjadi kemuncak kepada edisi ketiga pertandingan berkenaan yang menyaksikan penyertaan lebih 140 sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa dari seluruh negara.

Pertandingan yang berlangsung dari Oktober 2025 hingga Mac lalu itu terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan sejak diperkenalkan pada 2023 menerusi usaha memperkasakan budaya hidup sihat dalam komuniti sekolah.

Jumlah penyertaan yang diterima meningkat dengan ketara berbanding 36 sekolah pada tahun pertama penganjuran sebelum bertambah kepada 63 sekolah pada 2025 dan melonjak lebih dua kali ganda pada tahun ini.

Peningkatan tersebut mencerminkan kesedaran serta komitmen yang semakin tinggi dalam kalangan warga pendidik untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sihat, aktif dan menyokong kesejahteraan murid.

Image from: SMK Sanglang, SK Manir ungguli  AIA Healthiest Schools 2026

Menariknya, pertandingan tahun ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan sebuah sekolah dari Sabah menerima pengiktirafan dalam pertandingan tersebut.

Kesemua sekolah yang menang dipilih berdasarkan skop dan pelaksanaan projek, tahap penglibatan guru, murid serta komuniti, impak keseluruhan dan kelestarian jangka panjang.

Sebanyak RM450,000 (AS$100,000) hadiah wang tunai ditawarkan kepada pemenang dan penerima anugerah kepujian bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah.

Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Perlis muncul juara menerusi Harumanis Mango Cultivation Project yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) melalui pembelajaran pertanian secara amali.

Pengetuanya, Sharudin Mahmud berkata, projek tersebut diwujudkan bagi melengkapkan murid pendidikan khas dengan kemahiran yang boleh dimanfaatkan selepas tamat persekolahan.

 

 

 

 

Image from: SMK Sanglang, SK Manir ungguli  AIA Healthiest Schools 2026

Menurut beliau, lokasi sekolah yang berada dalam kawasan luar bandar menjadikan pertanian sebagai platform yang sesuai untuk membangunkan potensi murid.

“Pihak sekolah mahu memastikan murid pendidikan khas memperoleh peluang pembelajaran yang sama rata seperti murid arus perdana.

“Kami mahu mereka mempunyai kemahiran yang boleh digunakan apabila tamat sekolah nanti supaya mereka mempunyai sesuatu yang boleh dilakukan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools (AHS) yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

Beliau berkata, projek itu melibatkan keseluruhan proses penanaman mangga Harumanis bermula daripada penyediaan tapak, penanaman, penjagaan pokok, pembajaan, penyiraman, penuaian sehingga pembungkusan hasil.

“Murid didedahkan kepada aktiviti mengukur saiz buah, menimbang hasil tuaian dan merekod data yang secara tidak langsung membantu mereka memahami konsep matematik dan bahasa.

“Apabila mereka pegang buah, ukur saiz dan timbang berat, mereka sebenarnya sedang belajar. Mereka lebih mudah memahami pelajaran melalui pengalaman seperti ini,” katanya.

 

Image from: SMK Sanglang, SK Manir ungguli  AIA Healthiest Schools 2026

Sharudin berkata, projek tersebut turut membantu meningkatkan minat murid untuk hadir ke sekolah setiap hari.

“Murid diberikan tanggungjawab menjaga pokok yang ditanam termasuk menyiram dan memantau perkembangan tanaman.

“Tanggungjawab tersebut menjadikan mereka lebih berdisiplin selain meningkatkan rasa seronok untuk datang ke sekolah.

“Mereka datang ke sekolah kerana ada benda yang mereka mahu lakukan. Mereka seronok melihat pokok yang dijaga membesar dan berbuah,” katanya.

Beliau berkata, suasana pembelajaran di kawasan tanaman juga membantu mengawal emosi murid serta menjadikan mereka lebih tenang.

Menurutnya, murid tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata sebaliknya dapat belajar dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan.

“Selain kemahiran pertanian, murid turut didedahkan kepada penggunaan peralatan dan jentera menerusi kerjasama dengan institusi kemahiran.

“Mereka berpeluang mempelajari pengendalian mesin rumput, traktor dan peralatan lain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Persekitaran kami dipenuhi kawasan sawah dan pertanian, jadi kemahiran seperti ini sangat sesuai dengan masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata, seramai 69 murid PPKI di sekolahnya kini terlibat dalam projek tersebut.

Katanya, cabaran utama yang dihadapi ialah masih terdapat segelintir ibu bapa yang kurang yakin dengan kemampuan anak mereka untuk mengikuti program pendidikan khas.

“Ada ibu bapa yang malu untuk menghantar anak ke PPKI dan ada juga yang masih tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka memerlukan pendekatan pembelajaran yang berbeza,” katanya.

“Paling penting, mereka gembira, ceria dan seronok datang ke sekolah setiap hari,” katanya.

Image from: SMK Sanglang, SK Manir ungguli  AIA Healthiest Schools 2026

 

 

 

Sementara itu, Pengurus Projek Harumanis Mango Cultivation Project, Mohd. Faizal Mansor berkata, pelajar PPKI turut diberikan laluan untuk melanjutkan latihan kemahiran melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Semua murid pendidikan khas akan menduduki Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran yang bersesuaian,” katanya.

Bagi kategori sekolah rendah pula, Sekolah Kebangsaan (SK) Manir, Terengganu dinobatkan sebagai juara menerusi inisiatif ‘Sihat Aktif Manirian (S.A.M)’ yang dibangunkan untuk menangani peningkatan kadar berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan murid.

Ketua projeknya, Zuraidah Hassim berkata, inisiatif tersebut tercetus selepas pihak sekolah melihat semakin ramai murid mengamalkan pemakanan tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.

“Peningkatan jumlah murid yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti mendorong pihak kami mencari penyelesaian yang lebih berkesan.

Image from: SMK Sanglang, SK Manir ungguli  AIA Healthiest Schools 2026

“Menurut beliau, keistimewaan program AIA Healthiest Schools adalah keupayaannya membantu sekolah membentuk budaya hidup sihat yang berpanjangan.

Sementara itu, Penolong Projek S.A.M, Najjah Salaamah Jusoh berkata, pihak sekolah turut memperkenalkan ganjaran bulanan bagi memastikan penggunaan aplikasi terus aktif.

Menurutnya, murid yang mencatat skor tertinggi akan menerima penghargaan semasa perhimpunan sekolah._UTUSAN

The post SMK Sanglang, SK Manir ungguli AIA Healthiest Schools 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved