
KIRA-KIRA 20,000 orang memeriahkan majlis Kenduri Rakyat pasangan selebriti Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berlangsung di Padang Merdeka, di sini pada Sabtu.
Pengunjung dan peminat pasangan popular terbabit sanggup datang seawal jam 5 pagi untuk bersama-sama meraikan detik bahagia mereka walaupun pagar venue hanya dibuka pada jam 9.30 pagi.
Pengunjung bukan sahaja dari Sabah bahkan ada peminat pasangan yang dikenali sebagai BASS itu sanggup datang dari Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.
Kebanyakan pengunjung juga menyarung pakaian tradisional Sabah dari pelbagai suku kaum yang ada di negeri ini sesuai dengan tema Kenduri Rakyat edisi Sabah itu.
Pada majlis di Sabah, Bella dan Syed Saddiq memakai baju etnik Kadayan bewarna hitam dan merah. Bella yang berasal dan dilahirkan di Sandakan datang daripada etnik Kadayan.
Pasangan mempelai itu tiba di Padang Merdeka kira-kira jam 1.30 petang dan ribuan peminat juga sanggup menunggu meskipun di bawah terik matahari.
Ketika berarak dari pintu gerbang Padang Merdeka sehingga ke astaka utama, Bella dilihat sebak dan menitiskan air mata.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata pengunjung digalakkan memakai baju tradisional namun ia bukanlah paksaan.
“Yang penting ialah kami berdua dan rakyat Sabah dapat meraikan majlis kami beramai-ramai,” katanya.
Bella berharap momen istimewa mereka dikongsi dengan menonjolkan kebanggaan terhadap budaya tradisional pelbagai kaum di negeri ini.
“Sabah sememangnya kaya dengan tradisi dan kepelbagaian kaum. Tambahan pula, Sabah mempunyai lebih 70 etnik.
“Keluarga saya turut memakai pakaian tradisional negeri Sabah pada hari ini. Ada yang memakai pakaian Kadayan, Kadazan, Bajau Samah dan lain-lain,” katanya.
Ketika berucap, Syed Saddiq mendedahkan cinta mereka berdua mula berputik di Sabah.
Tambahnya, beliau tidak pernah menyangka akan jatuh cinta dengan keistimewaan negeri di bawah bayu ketika menjalani penggambaran di pelbagai lokasi sebelum ini.
“Selepas dua hingga tiga bulan pergi ke pelbagai negeri apabila datang ke bumi Sabah saya rasa sesuatu yang luar biasa. Bila ‘touch down’ sahaja, terus bermula rasa cinta.
“Ketika pergi dari pulau ke pulau, saya dapat mengenali Bella dan keluarganya dengan lebih rapat.
“Sejak itu saya nampak sisi berbeza Bella bukan sekadar pelakon dan penyanyi tetapi kasih sayangnya terhadap anak-anak serta ketulusan hatinya menyantuni masyarakat dari kampung ke kampung,” katanya.
Tambahnya, tempat tertinggi di Gunung Kinabalu sampai ke lautan yang luas di Semporna telah mengunci kisah cinta mereka.
“Anak Johor dan anak Sabah akhirnya disatukan di atas pelamin. Permulaannya bukan setakat di Merdeka 118 tetapi pengakhirannya juga begitu romantis kerana tempat terakhir kami meraikan kisah kami adalah bersama anak-anak Sabah pada hari ini.
“Saya selepas ini kena lebih kerap dan rajin turun ke Sabah kerana isteri orang Sabah, keluarganya dari Sabah. Ramai dari Sandakan dan Kota Kinabalu.
“Insya Allah … Saya tidak sabar selalu berada di sini bersama isteri dan mengenali kalian dengan lebih erat,” katanya.
Selepas Syed Saddiq berucap, majlis disambung dengan acara memotong kek dan pulut kuning. Bella yang juga penyanyi dan pelakon turut menyampaikan lagu Bersama Aku Setia Selamanya sempena detik istimewa itu.
Turut menemani pasangan terbabit di atas pentas ialah anak-anak kepada Bella iaitu Mohamad Ayden Adrean Aliff Aziz, 9 tahun, dan Ara Adreanna, 6.
Tidak setakat itu, Syed Saddiq dan Ayden turut mencuba sendiri tarian magunatip. Difahamkan, tarian magunatip merupakan permintaan sendiri bekas Menteri Belia dan Sukan terbabit.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dan Ahli Dewan Negara Datuk Phoong Jin Zhe, yang juga rakan baik Syed Saddiq.
Pasangan berkenaan mengadakan majlis akad nikah di Merdeka 118, Kuala Lumpur pada 10 Oktober lalu sebelum mengadakan majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 18 Oktober.
Mereka kemudian meneruskan sambutan menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober sebelum membawa perayaan itu ke Sabah pada Sabtu.




![[VIDEO] Kenduri rakyat BASS macam Pesta Kaamatan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-31-at-5.37.35-PM-1024x538.jpeg)

