
PETALING JAYA – “Wait till you have kid when they say (tunggu sampai ada ada anak nanti), Armaan happylah mummy hari ni (Armaan suka hari ni).”
Itu antara status dimuat naik Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, pada akaun Instagramnya yang disertakan gambar anak lelakinya dikenali sebagai Armaan sewaktu menyambut Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya, semalam.

Allahyarham juga memuat naik gambar mereka sekeluarga di kawasan tempat letak kereta di dataran tersebut selepas sambutan semalam di Putrajaya.
Status Instagramnya tular di media sosial selepas dikongsikan oleh rakan-rakan Allahyarham yang bersedih atas tragedi menimpa mereka sekeluarga.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), Temerloh malam tadi merupakan pemilik Secangkir Cafe di Sungai Karang, Pahang.
Nur Atiqah Sofiya maut bersama suaminya Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka dengan kesemuanya menaiki Proton S70.
Seorang lagi mangsa lelaki yang maut menaiki kereta Honda CRV.
Terdahulu, empat maut dalam kejadian kemalangan melibatkan 11 buah kenderaan termasuk bas, lori tangki, trak pikap, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kereta di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di Temerloh, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan melibatkan 11 kenderaan iaitu bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CRV, dua buah Proton Saga, dua Perodua Myvi dah sebuah Perodua Aruz. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas ngeri LPT: ‘Armaan happylah mummy hari ni’ appeared first on Kosmo Digital.






