Sophia Albarakbah Titip Kata Semangat Buat Siti Khadijah - “Saya Faham Sebab Pernah Berada Di Situasi…”

27 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

Sophia Albarakbah Titip Kata Semangat Buat Siti Khadijah - “Saya Faham Sebab Pernah Berada Di Situasi…”

Sebagai rakan baik, pelakon Sophia Albarakbah menitipkan kata-kata semangat buat aktres Siti Khadijah Halim yang menerima pelbagai kecaman menerusi laman sosial. Berharap Siti Khadijah terus kuat, Sophia memberitahu dia mahu melakukan perkara sama iaitu sentiasa berada bersama sahabat baiknya itu dalam waktu susah dan senang. “Abaikan saja para pembenci (haters). Lumrah kita sebagai artis, orang akan bercakap fasal kita, sama ada baik atau jahat. Saya harap dia kuat. Saya kenal Siti secara peribadi, dia seorang yang sangat baik dan sangat ceria (bubbly). “Waktu saya dalam kesusahan dan waktu saya down, dia sentiasa ada untuk saya. Dia selalu bagi kata-kata semangat dan naikkan semangat saya. Jadi saya pun mahu buat benda yang sama untuk dia. “Orang yang kenal dia akan tahu dia macam mana. Fokuslah pada orang yang sayangkan kita,” kata Sofia kepada Gempak ketika ditemui di majlis pelancaran drama Bayangan Dendam di Inspace KL, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa. Dalam pada itu, pelakon berusia 33 tahun ini juga mendedahkan Siti Khadijah ada meluahkan perasaan kepadanya dan dia turut menitipkan pesanan. “Dia ada juga mesej saya… sekarang dia Jepun, saya ada la titip pesanan agar jangan baca komen. Sekarang ni dia cuma perlu fokus pada kerja dia saja. “Saya faham sebab saya pun pernah berada di situasi dikecam, malah selalu dikecam. Tapi kecaman tu yang buat saya lebih kuat. Jadi saya percaya perkara ini juga akan buat Siti lebih kuat untuk masa depan dia,” ujarnya . Sementara itu, Sophia juga memberi pesanan kepada segelintir netizen yang gemar meninggalkan komen negatif di laman sosial. “Saya perasan ada sesetengah netizen yang... kita artis pun manusia juga, memang melakukan kesalahan. Semua orang ada buat salah. Tetapi ada segelintir netizen yang memberi komen seolah-olah mereka itu terlalu suci. “Saya rasa netizen yang memberi komen negatif tu pun patut muhasabah diri balik. Mereka sendiri pun pernah buat benda tak elok atau ada masa lampau yang tak indah. Yang penting kita nak perbaiki diri. Jadi saya harap netizen janganlah suka-suka hati mengajak orang ramai untuk memburukkan seseorang. “Kalau tak suka artis tu pun, tak perlu bercakap kata-kata yang tak elok. Bagilah nasihat yang baik. Kalau tak ada nasihat baik, simpan saja untuk diri sendiri. “Kalau betul ikhlas nak bagi nasihat, cakaplah benda yang baik, jangan ajak semua orang untuk mengutuk sebab benda tu adalah buli siber kan? Jadi saya harap netizen pun sedarlah,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved