Pendapatan berulang kukuh pacu Sime Darby Property, keuntungan berpotensi cecah RM70 juta - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 11:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan berulang kukuh pacu Sime Darby Property, keuntungan berpotensi cecah RM70 juta - Penganalisis Image from: Pendapatan berulang kukuh pacu Sime Darby Property, keuntungan berpotensi cecah RM70 juta - Penganalisis hamden26/08/2026 - 11:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Prestasi kewangan Sime Darby Property Bhd (SDPR) yang mengatasi jangkaan pada separuh pertama FY26 mendorong PublicInvest menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan bagi FY26 hingga FY28 sebanyak purata 16%.

 

Semakan itu mengambil kira perubahan andaian pengebilan serta keuntungan nilai saksama yang direkodkan kumpulan, ketika momentum jualan kekal kukuh dan keterlihatan pendapatan dijangka berterusan bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Outperform terhadap saham SDPR dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.55 sesaham, yang menilai saham itu hampir setara dengan nilai buku.

 

"Penilaian tersebut disokong oleh momentum jualan yang kukuh serta kualiti pendapatan kumpulan yang semakin baik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

SDPR mencatatkan keuntungan bersih utama sebanyak RM322 juta pada 2QFY26, melonjak 124.4% tahun ke tahun dan 102.8% suku ke suku.

 

Prestasi itu terutamanya disokong oleh keuntungan nilai saksama sebanyak RM55 juta daripada projek pusat data bina-untuk-sewa di Elmina Business Park serta kilang berkembar The Cubiz Collection di City of Elmina, selain pengebilan daripada projek-projek yang sedang berjalan yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Tidak termasuk item sekali sahaja, keuntungan bersih kumpulan bagi 1HFY26 dianggarkan berjumlah RM396.6 juta, mengatasi jangkaan firma penyelidikan dan konsensus apabila masing-masing mencapai 72% dan 68% daripada unjuran penuh tahun.

 

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM1.8 bilion, manakala PBT segmen itu meningkat 24% tahun ke tahun kepada RM457.3 juta.

 

Pada masa sama, SDPR dilihat berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran jualan FY26 sebanyak RM4 bilion.

Kumpulan merekodkan pra-jualan sebanyak RM1.8 bilion dalam 1HFY26, bersamaan kira-kira 45% daripada sasaran jualan tahunannya.

 

Setakat 9 Ogos 2026, kumpulan turut mempunyai tempahan sekitar RM1 bilion.

 

Jualan belum dibilkan pula kekal kukuh pada RM3.8 bilion berbanding RM4.1 bilion pada suku sebelumnya, memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

 

Pendapatan berulang semakin berkembang

Sementara itu CGS International (CGSI) berkata, keyakinan kumpulan terhadap jualan sebanyak RM4 bilion turut disokong oleh pelancaran projek bernilai RM2.7 bilion yang dirancang pada 2HFY26, selepas kumpulan melancarkan projek bernilai RM2 bilion pada 1HFY26.

 

Pihak pengurusan turut kekal optimistik terhadap platform pendapatan berulang kumpulan, dengan Metrohub 3 & 4, gudang automatik MyDin di Elmina Business Park serta pusat data bina-untuk-sewa Fasa 2 semuanya berada di landasan untuk memulakan pajakan menjelang akhir FY27.

 

"Kami menganggarkan aset-aset tersebut berpotensi menyumbang kira-kira RM70 juta keuntungan selepas cukai (PAT) tambahan setahun, selepas mengambil kira pegangan ekuiti SDPR dalam aset berkenaan," katanya.

 

Selain itu, Battersea Power Station terus mencatatkan kemajuan yang stabil, dengan kadar penghunian 50 Electric Boulevard meningkat kepada 53% pada akhir 2QFY26, berbanding 45% pada 1QFY26.

 

"Kami mengekalkan saranan 'Tambah' terhadap SDPR dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.85.

 

"Harga sasaran itu masih berdasarkan diskaun 40% kepada nilai aset bersih selepas pelarasan (RNAV) sesaham sebanyak RM3.08, disokong oleh kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) EPS FY25-27 sebanyak 15%, kedudukan kunci kira-kira yang kukuh serta penilaian yang menarik.

 

"Penilaian saham itu kini kembali kepada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26 sebanyak 15 kali, iaitu hampir kepada purata lima tahun, berbanding trajektori pertumbuhan pendapatan FY26-FY28 yang kekal menggalakkan," katanya. DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved