hamden20/05/2026 - 10:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Mei - Kontrak pusat data baharu diperoleh Southern Score Builders Bhd (SSB) dijangka menyumbang keuntungan selepas cukai (PAT) sekitar RM7 juta berdasarkan anggaran margin bersih sebanyak 15%, menurut Phillip Capital Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak tersebut merupakan anugerah berulang dalam blok pusat data sama yang kini sedang dilaksanakan anak syarikat milik 51%, SJEE bagi pihak kontraktor utama yang sama untuk sebuah hyperscaler dari Amerika Syarikat.
Katanya, termasuk kontrak terbaharu itu, SJEE telah memperoleh keseluruhan kontrak bernilai RM145 juta bagi fasa semasa projek berkenaan.
“Fasa seterusnya dijangka mempunyai nilai kontrak yang hampir sama dan dijangka ditender pada awal 2027.
“Sebagai kontraktor sedia ada, SJEE berada pada kedudukan baik dan mempunyai peluang cerah untuk memperoleh kesinambungan kerja tersebut,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Phillip Capital turut mengekalkan pandangan positif terhadap prospek penambahan kontrak SSB yang disokong oleh buku tender pelbagai segmen bernilai RM1.4 bilion.
Daripada jumlah tersebut, projek pusat data menyumbang 24%, projek kediaman sebanyak 38% dan bangunan berkaitan kerajaan sebanyak 38%.
Dalam pada itu, pihaknya mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan tanpa sebarang perubahan memandangkan kontrak tersebut berada dalam jangkaan penambahan kontrak sedia ada.
“Kami mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran RM0.74 berdasarkan gandaan PE 18 kali ke atas EPS FY27E.
“Kami terus positif terhadap prospek SSB berikutan penglibatan syarikat yang semakin berkembang dalam sektor pusat data yang pesat berkembang selain disokong keterlihatan buku pesanan yang kukuh daripada pelanggan utama sedia ada termasuk PV dan Radium,” katanya.
Bagaimanapun katanya, antara risiko utama kepada saranan itu termasuk kelewatan pelaksanaan projek yang tidak dijangka, peningkatan persaingan dalam sektor pusat data serta turun naik harga bahan mentah. - DagangNews.com






