Vizione raih kontrak RM65.6 juta bina pangsapuri 30 tingkat di Sentul

19 May 2026 • 5:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vizione raih kontrak RM65.6 juta bina pangsapuri 30 tingkat di Sentul Image from: Vizione raih kontrak RM65.6 juta bina pangsapuri 30 tingkat di Sentul hamden19/05/2026 - 17:48 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Mei - Vizione Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Bina Permai Sdn. Bhd. (BPSB), memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM65.62 juta daripada Bina Asia Sdn. Bhd. (BASB).

 

Kontrak itu melibatkan kerja-kerja bangunan utama bagi pembangunan pangsapuri kediaman 30 tingkat di Jalan Pelangi 2, Sentul, Kuala Lumpur.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, projek berkenaan merangkumi pembinaan satu blok pangsapuri kediaman dengan 322 unit terdiri daripada Residensi Wilayah (RUMAWIP) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

 

Pembangunan tersebut turut melibatkan kemudahan rekreasi di aras tujuh, tempat letak kereta bertingkat, pondok pengawal, unit pencawang elektrik serta kemudahan berkaitan lain.

 

Menurut syarikat, tempoh keseluruhan kontrak termasuk kerja mobilisasi dan demobilisasi dijadualkan selama 24 bulan dari tarikh permulaan projek yang akan disahkan kemudian oleh arkitek projek.

 

Vizione berkata, kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan dan pegangan saham utama syarikat kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu.

 

Bagaimanapun, projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan.

 

BPSB diperbadankan pada Mac 2022 dengan aktiviti utama melibatkan kerja pembinaan bangunan, kejuruteraan awam, infrastruktur serta pengurusan projek.

 

Sementara itu, BASB yang diperbadankan pada November 2021 terlibat dalam aktiviti pembangunan projek dan pembinaan.

 

Kumpulan itu bagaimanapun mengakui projek berkenaan masih terdedah kepada risiko biasa industri termasuk lebihan kos dan kemungkinan kelewatan penyiapan projek. - DagangNews.com

Terkini standard