Southern Score mampu raih RM16 juta daripada kontrak pusat data Puncak Alam - Phillip Capital

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 10:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Southern Score mampu raih RM16 juta daripada kontrak pusat data Puncak Alam - Phillip Capital Image from: Southern Score mampu raih RM16 juta daripada kontrak pusat data Puncak Alam - Phillip Capital hamden13/08/2026 - 10:59 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Southern Score Builders Bhd (SSB) mampu meraih keuntungan bersih sekitar RM16 juta sepanjang tempoh kontrak bernilai RM105 juta bagi kerja elektrik pusat data (DC) di Puncak Alam, dengan andaian margin keuntungan bersih sebanyak 15%.

 

Phillip Capital Research (Phillip Capital) berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira RM8 juta dijangka dapat disumbangkan kepada kumpulan, dengan sebahagian besar pendapatan diiktiraf pada 2HFY27.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kontrak baharu itu mengukuhkan prospek pengisian semula buku tempahan SSB, khususnya dalam segmen DC yang semakin berkembang. 

 

SSB, menerusi anak syarikat milik 51%, SJEE Engineering Sdn Bhd (SJEE), menerima surat anugerah daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan bagi melaksanakan kerja subkontrak “Electrical Package 3 Works” untuk projek DC di Puncak Alam bernilai RM105 juta.

 

Kontrak tersebut bermula pada Julai 2026 dan dijadualkan siap pada Oktober 2027. 

 

Dengan kontrak terbaharu itu, jumlah perolehan kontrak SSB bagi FY27 mencecah RM252 juta, bersamaan 23% daripada andaian pengisian semula kontrak FY27 firma penyelidikan sebanyak RM1.1 bilion.

 

Ia turut meningkatkan buku tempahan tertunggak kumpulan kepada RM1.6 bilion, dengan projek DC menyumbang kira-kira 38%.

 

Kekal BELI, TP RM0.74

Phillip Capital turut mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap SSB dengan harga sasaran RM0.74, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 18 kali terhadap EPS FY27 yang tidak berubah.

 

Penilaian tersebut turut mencerminkan prospek pertumbuhan keuntungan kumpulan yang disokong peningkatan pendedahan kepada projek DC. 

 

Firma itu berkata pihaknya kekal positif terhadap SSB berikutan pertumbuhan buku pesanan DC, selain keterlihatan tempahan yang kukuh daripada pelanggan utama sedia ada termasuk PV dan Radium.

 

Namun, antara risiko utama ialah kelewatan tidak dijangka dalam pelaksanaan projek, persaingan yang semakin sengit dalam ruang pusat data serta turun naik harga bahan mentah.

 

Phillip Capital berkata, SSB memiliki buku tender bernilai RM1.1 bilion yang merangkumi projek DC sebanyak 26%, kediaman 37% dan bangunan berkaitan kerajaan 37%.

 

Dalam segmen DC, terdapat dua tender utama dengan nilai kontrak gabungan kira-kira RM250 juta, yang merangkumi sebahagian besar daripada buku tender DC bernilai RM280 juta.

 

“Kemenangan mana-mana satu daripada tender tersebut akan memberi dorongan bermakna kepada andaian pengisian semula kontrak FY27 kami,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan SSB tanpa perubahan memandangkan kontrak baharu berkenaan telah diambil kira dalam andaian pengisian semula kontrak. - DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved