hamden13/08/2026 - 13:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - MN Power Transmission Sdn Bhd (MNPT), anak syarikat milik penuh MN Holdings Bhd (MN Holdings), memperoleh kontrak bernilai RM71.02 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) baharu di Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang.
MN Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu diterima pada 12 Ogos 2026 dan melibatkan pembinaan PMU Transmisi 132/33 kilovolt (kV) Blue Valley dengan kapasiti 2x45 Mega Volt-Ampere (MVA).
“Skop kerja merangkumi pembekalan, pendirian, pemasangan, pengujian dan pentauliahan PMU baharu dengan susunan palang berkembar (double busbar), lengkap dengan peralatan utama, sekunder serta semua kerja awam berkaitan,” katanya.
Kontrak tersebut berkuat kuasa mulai 12 Ogos 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 900 hari dari tarikh permulaan kerja.
MNPT turut dikehendaki menyediakan jaminan pelaksanaan berjumlah RM3.55 juta, bersamaan 5% daripada nilai kontrak, dalam tempoh 56 hari dari tarikh kontrak berkuat kuasa.
Menurut MNHB, kontrak berkenaan tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama kumpulan.
Bagaimanapun, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham MNHB apabila kerja-kerja kontrak dimulakan.
MNPT juga dikehendaki mendapatkan polisi insurans berkaitan sebelum kerja dimulakan, termasuk insurans semua risiko pembinaan/pemasangan, pampasan pekerja, kargo marin, liabiliti awam dan ganti rugi profesional, mengikut kesesuaian. - DagangNews.com





