SP Setia bina sekolah antarabangsa HELP di Bandar Kinrara tampung lebih 1,000 pelajar

4 Nov 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SP Setia bina sekolah antarabangsa HELP di Bandar Kinrara tampung lebih 1,000 pelajar Image from: SP Setia bina sekolah antarabangsa HELP di Bandar Kinrara tampung lebih 1,000 pelajar amree04/11/2026 - 10:40 Foto kredit Rummah.My Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov — Penduduk di Bandar Kinrara, Puchong dan Bukit Jalil bakal mempunyai akses lebih dekat kepada pendidikan global apabila sebuah sekolah antarabangsa baharu di bawah kumpulan HELP Education dijangka mula beroperasi pada Ogos 2029, dengan kapasiti melebihi 1,000 pelajar.

 

Projek tersebut menyaksikan SP Setia Berhad menerusi anak syarikatnya, Perumahan Kinrara Berhad (PKB), memeterai perjanjian pembangunan dan pajakan dengan HELP Kinrara Sdn Bhd, anak syarikat HELP Education Services Sdn Bhd, bagi membangunkan kampus khusus di Bandar Kinrara, Selangor.

 

Menurut kenyataan kumpulan berkenaan, menerusi kerjasama itu, SP Setia bakal membangunkan dan membina kompleks sekolah berkenaan, manakala HELP akan menyewa serta mengendalikan kampus tersebut sebagai sekolah yang keempat dalam rangkaian pendidikan di bawah HELP Group of Schools.

 

"Sekolah berkenaan akan dibangunkan di atas tapak yang berkeluasan 0.8 hektar dalam kawasan khusus komersial kira-kira 6.5 hektar di Bandar Kinrara, dengan reka bentuk enam tingkat dan keluasan lantai kasar indikatif 16,358 meter persegi," jelas kumpulan tersebut.

 

Kampus itu dirancang mempunyai 55 bilik darjah, enam makmal sains, bengkel kejuruteraan dan reka bentuk, dapur teknologi makanan, dua bilik muzik, dua bilik seni, kemudahan teknologi pendidikan, perpustakaan seluas 390 meter persegi serta dewan serbaguna sekitar 557 meter persegi.

 

Dari segi akademik, sekolah itu dijangka menawarkan program rendah dan menengah berasaskan standard kurikulum British, dengan penerapan International Primary Curriculum sebelum membawa pelajar kepada kelayakan tinggi bertaraf Cambridge IGCSE bagi lingkungan umur lima tahun hingga 16 tahun.

 

SP Setia_DagangNews2026
(DARI kiri) Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus; Presiden dan CEO SP Setia Datuk Zaini Yusoff; Timbalan Pengerusi Eksekutif HELP Education Group, Adam Chan, dan CEO Bersama HELP Education Group (K–12) Dr Gerard Louis.

 

Ujar kenyataan SP Setia, di samping pencapaian akademik, kurikulum berkenaan turut memberi penekanan kepada kreativiti, pemikiran kritis, komunikasi, kepimpinan dan kemahiran digital menerusi pendekatan STEAM, seni persembahan, sukan serta khidmat komuniti.

 

"Di bawah perjanjian itu, HELP akan memajak kompleks sekolah berkenaan untuk tempoh awal 15 tahun dengan pilihan pembaharuan selama lima tahun lagi, selain bertanggungjawab mendapatkan kelulusan pendidikan dan melengkapkan kemudahan dalaman sebelum operasi bermula," katanya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SP Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, kerjasama itu mencerminkan pendekatan pembangunan bandar bersepadu syarikat yang menggabungkan aspek perumahan, pendidikan, kemudahan komuniti dan jaringan perhubungan bagi mewujudkan persekitaran lengkap.

 

Sementara itu, CEO Bersama Kumpulan HELP bagi segmen K-12, Dr Gerard Louis berkata, kampus baharu tersebut merupakan langkah pengembangan semula jadi kumpulan berkenaan bagi menyediakan pendidikan antarabangsa berkualiti dengan yuran yang mampu diakses lebih ramai keluarga Malaysia.

 

Pembangunan sekolah itu akan menjadi sebahagian perancangan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Bandar Kinrara, sekali gus melengkapkan komponen kediaman dan komersial serta meningkatkan daya tarikan kawasan sebagai sebuah bandar yang lebih terhubung dan sesuai didiami. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved