
PETALING JAYA – Ahli Parlimen Subang telah menghantar surat bagi melepaskan keahliannya sebagai wakil rakyat berkuat kuasa semalam.
Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan, pihaknya telah menerima surat berhubung perkara itu dan tindakan susulan sudah diambil dengan memaklumkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“YB Subang telah menghantar surat untuk melepaskan keahlian beliau berkuat kuasa semalam. Saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada SPR selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya hari ini.
Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan antara lain memperuntukkan tatacara berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dewan Rakyat dan tempoh bagi mengisi kekosongan berkenaan.
Semalam, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa pukul 5 petang selepas tiga penggal menjadi wakil rakyat.
Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Johari pada 5 Ogos lalu.
Menurut Wong Chen, dia dan Johari turut mencapai persefahaman untuk tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai peletakan jawatan berkenaan sehingga pukul 5 petang semalam.
Dalam surat bertarikh 5 Ogos itu, Wong Chen memaklumkan secara rasmi hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi P.104 Subang secara sukarela. – KOSMO! ONLINE
The post Speaker maklum SPR Wong Chen letak jawatan appeared first on Kosmo Digital.





