
Ahli Parlimen Subang Wong Chen secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat selepas berkhidmat selama tiga penggal.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang Wong Chen secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa 5 petang, hari ini.
Beliau yang telah berkhidmat selama tiga penggal, mengesahkan surat peletakan jawatan secara rasmi telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, pada 5 Ogos lepas.
Wong Chen menerusi hantaran di Facebook beliau berkata penyerahan awal notis itu, dibuat bagi memberi ruang kepada pentadbiran Parlimen membuat persediaan sewajarnya.
Beliau turut berkongsi salinan surat rasmi bertarikh 5 Ogos 2026 yang menyatakan peletakan jawatan dan pengosongan kerusi Parlimen Subang dilakukan secara sukarela, selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Tan Sri (Johari) dan seluruh warga Parlimen Malaysia atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang baik selama tiga penggal saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen,” katanya dalam surat berkenaan.
Wong Chen turut memaklumkan beliau akan mengadakan satu sidang media khas berhubung peletakan jawatannya itu, pada pukul 11 pagi, esok.
Susulan itu, beliau berkata penggunaan gelaran honorifik “Yang Berhormat” pada semua papan iklan, papan tanda serta urusan surat-menyurat pejabatnya akan dikeluarkan bermula bulan hadapan.






