Speedy Tigers akur, terlepas emas dan tiket Olimpik

3 Oct 2026 • 7:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Speedy Tigers akur, terlepas emas dan tiket Olimpik

PETALING JAYA: Impian Speedy Tigers untuk menamatkan kemarau emas Sukan Asia tidak kesampaian apabila Malaysia tewas 5-1 kepada India dalam perlawanan akhir pada temasya Aichi-Nagoya di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara, Gifu, sebentar tadi.

Kekalahan itu bukan sahaja menyaksikan Malaysia sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, malah turut memusnahkan peluang skuad negara meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan menamatkan penantian untuk kembali ke pentas Olimpik sejak Sydney 2000.

Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dunia terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-11 selepas Harmanpreet Singh menyempurnakan pukulan sudut penalti, namun Speedy Tigers hanya memerlukan tiga minit untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang Shello Silverius.

India yang berada di ranking kelapan dunia kembali mendahului pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti Jugraj Singh sebelum Hardik Singh menambah derita Malaysia menerusi pukulan penalti stroke pada minit ke-42.

Memasuki suku keempat, Malaysia terus ditekan India apabila terpaksa berdepan enam kali pukulan sudut penalti berturut-turut namun ia belum cukup membolosi gawang Speedy Tigers.

Usaha India mencari gol keempat akhir ditemui pada minit ke-54 menerusi gol padang Harmanpreet, disusuli gol kelima hasil pukulan sudut penalti disempurnakan Harmanpreet sekali gus menamatkan perjuangan skuad negara untuk bangkit.

Kekalahan tersebut turut menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa kalah Malaysia sepanjang kempen di Aichi-Nagoya sebelum aksi final, sekali gus menyaksikan rekod berkenaan terhenti di pentas paling penting.

Ini adalah kali ketiga Malaysia melangkah ke final Sukan Asia selepas penampilan pada edisi Guangzhou 2010 dan Indonesia 2018, namun kedua-duanya berakhir dengan pingat perak dan sejarah sama kembali berulang di Aichi-Nagoya.

Keputusan itu juga menyaksikan Speedy Tigers masih belum mampu memecahkan kemarau emas Sukan Asia apabila pencapaian terbaik mereka kekal perak pada 2010, 2018 dan kini 2026.-UTUSAN

The post Speedy Tigers akur, terlepas emas dan tiket Olimpik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved