SPM 2026 medan buktikan kemampuan diri

27 Sep 2026 • 12:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

SPM 2026 medan buktikan kemampuan diri

PENAMPANG: Pegawai SiPartner Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang Clarice Mumpin mengingatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 peperiksaan berkenaan bukan sekadar satu bentuk penilaian bertulis tetapi platform terbaik untuk membuktikan kemampuan diri.

“SPM adalah medan untuk menterjemahkan segala ilmu yang ditimba daripada guru, nasihat yang dicurahkan dan pengorbanan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa agar tidak menjadi sia-sia,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) 2026 SMK Bahang Penampang pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada kepada 365 calon SPM daripada aliran perdana dan PPKI.

Beliau menggesa pelajar mengamalkan prinsip ‘usaha kecil yang konsisten’ kerana ia mampu membawa perubahan besar selain diingatkan supaya tidak membandingkan diri dengan orang lain sebaliknya berazam menjadi versi terbaik diri sendiri.

“Aspek disiplin, pengurusan masa yang cekap dan komitmen tinggi adalah kunci utama kecemerlangan.

“Pelajar perlu sentiasa aktif di dalam kelas, rajin membuat latihan dan tidak malu bertanya kepada guru serta menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan seperjuangan,” ujarnya.

Sebagai pendidik berpengalaman Clarice turut meminta para pelajar agar tidak menunggu semangat atau keyakinan datang baharulah mahu bertindak sebaliknya memulakan langkah pertama kerana keyakinan tumbuh seiring dengan usaha.

“Hari ini merupakan satu titik penting dalam perjalanan hidup kamu. Kamu telah sampai ke satu fasa yang amat hampir dengan satu lagi medan perjuangan yang besar iaitu peperiksaan SPM 2026.

“Mungkin ada antara kamu yang merasakan diri masih belum cukup bersedia. Mungkin ada yang pernah gagal dalam ujian. Mungkin ada yang pernah mendapat keputusan yang tidak seperti diharapkan.

“Jangan takut dengan kelemahan diri sebaliknya jadikan kelemahan sebagai sebab untuk kamu berusaha lebih kuat.

“Kejayaan tidak datang kepada mereka yang hanya menunggu. Kejayaan datang kepada mereka yang berani memulakan, sanggup berusaha dan tidak mudah menyerah kalah,” jelasnya.

Clarice turut menasihatkan semua pelajar untuk menyusun masa dengan baik, komitmen hadir ke sekolah, memberi perhatian ketika guru mengajar dan bertanya kepada guru jika tidak memahami topik.

Sementara itu Pengetua sekolah Mohammad Fuad Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya berkata majlis graduasi diadakan untuk mengiktiraf pencapaian dan perkembangan pelajar, menyemai rasa bangga terhadap usaha yang dilalui serta menyuntik semangat untuk menghadapi peperiksaan SPM dan melangkah ke fasa kehidupan yang seterusnya.

“Setiap graduan diraikan bukan hanya berdasarkan keputusan peperiksaan tetapi daya tahan, disiplin, kebolehan menyesuaikan diri dan keberanian untuk terus mencuba,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved