johardy05/08/2026 - 18:05 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Sports Toto Bhd mengurangkan pegangannya dalam 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (SEM) selepas menjual 12.5 juta saham, bersamaan 1.13% kepentingan ekuiti, pada nilai RM25 juta secara tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Magna Mahsuri Sdn. Bhd., melupuskan saham berkenaan menerusi urus niaga perniagaan secara langsung pada harga RM2.00 sesaham pada 4 Ogos 2026.
Selepas pelupusan itu, Sports Toto bersama anak-anak syarikatnya masih memiliki 12.92 juta saham SEM, mewakili kira-kira 1.16% kepentingan ekuiti dalam pengendali rangkaian kedai serbaneka tersebut.
Menurut syarikat itu, harga pelupusan ditentukan berdasarkan harga pasaran semasa saham SEM ketika urus niaga dilaksanakan.
Pelupusan itu membolehkan Sports Toto merealisasikan sebahagian pelaburannya dalam SEM, manakala hasil tunai RM25 juta akan digunakan bagi tujuan pelaburan dan/atau modal kerja kumpulan.
Dana tersebut, katanya, boleh digunakan untuk pelaburan dalam sekuriti hutang serta membiayai perbelanjaan operasi.
Hasil pelupusan akan digunakan bagi pelaburan dan modal kerja
Nilai bawaan saham yang dilupuskan dalam buku Sports Toto setakat 30 Jun 2026 ialah kira-kira RM1.98 sesaham, dengan pelaburan tersebut dipegang sejak Jun 2023.
Sports Toto berkata, urus niaga itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat, selain tidak memberi impak material kepada aset bersih, pendapatan atau tahap penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
Pelupusan itu juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa urus niaga tersebut merupakan transaksi pihak berkaitan kerana Berjaya Corporation Bhd. ialah pemegang saham utama bagi Sports Toto dan SEM.
Selain itu, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun merupakan pemegang saham utama Sports Toto dalam tempoh enam bulan sebelum tarikh pelupusan dan pada masa sama kekal sebagai pemegang saham utama SEM.
Pengarah berkepentingan tidak sertai pertimbangan Lembaga
Pengerusi Sports Toto, Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nerine Tan Sheik Ping, yang juga anak kepada Vincent Tan, tidak mengambil bahagian dalam perbincangan serta pengundian Lembaga Pengarah berhubung transaksi itu berikutan kepentingan mereka.
Lembaga Pengarah, selain pengarah yang berkepentingan, berpendapat pelupusan tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.
Jawatankuasa Audit pula berpendapat urus niaga itu adalah adil, munasabah dan dibuat mengikut terma komersial biasa, selain tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti.
Nisbah peratusan tertinggi yang terpakai bagi pelupusan tersebut di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia adalah kira-kira 2.14%. - DagangNews.com






