Tiga pengarah MN Holdings jual saham RM28 juta selepas lulus ke Pasaran Utama

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 10:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiga pengarah MN Holdings jual saham RM28 juta selepas lulus ke Pasaran Utama Image from: Tiga pengarah MN Holdings jual saham RM28 juta selepas lulus ke Pasaran Utama liza04/08/2026 - 10:41 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Tiga pengarah utama MN Holdings Bhd melepaskan sebahagian pegangan saham mereka bernilai RM28 juta kepada pelabur institusi menerusi urus niaga secara langsung, hanya kira-kira dua minggu selepas syarikat itu mendapat kelulusan untuk berpindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Tiga individu tersebut ialah Pengarah Urusan, Datuk Toh Eng Keat serta dua Pengarah Eksekutif, Datuk Loy Siong Hay dan Datuk Dang Siong Diang.

 

Mereka menjual keseluruhan 10 juta saham pada harga RM2.80 sesaham melalui transaksi di luar pasaran pada 3 Ogos 2026.

 

Nilai keseluruhan urus niaga tersebut mencecah RM28 juta dengan harga jualan itu mewakili diskaun kira-kira 3.4% berbanding harga penutup saham MN Holdings sebanyak RM2.90 pada hari yang sama.

 

Walaupun melepaskan sebahagian pegangan, ketiga-tiga pengarah berkenaan masih kekal sebagai pemegang saham terbesar syarikat dengan pegangan langsung gabungan sebanyak kira-kira 33.27%.

 

Pelabur Institusi Terus Tingkatkan Pegangan

Toh menjual empat juta saham bernilai RM11.2 juta yang mengurangkan pegangan langsungnya kepada 97.71 juta saham atau bersamaan 14.62% kepentingan dalam syarikat.

 

Loy turut menjual empat juta saham bernilai RM11.2 juta dan kini memiliki 85.35 juta saham atau 12.77% pegangan manakala Dang melupuskan dua juta saham bernilai RM5.6 juta serta mengekalkan pegangan sebanyak 39.30 juta saham atau 5.88%.

 

Berdasarkan data MyBURSA setakat 4 Ogos, dana amanah menguasai 21.98% pegangan saham MN Holdings, diikuti penasihat pelaburan dengan 17.77% serta syarikat insurans sebanyak 5.64%, menunjukkan minat yang semakin meningkat daripada pelabur institusi.

 

Antara pelabur institusi terbesar dalam syarikat itu ialah Kenanga Investors Bhd dengan pegangan 7.07%, diikuti AIA Bhd (4.26%), Manulife Investment Management (M) Bhd (2.36%) dan Public Mutual Bhd (2.25%).

 

Perpindahan Ke Pasaran Utama Dijangka Tingkatkan Profil

Pada 20 Julai lalu, MN Holdings memaklumkan ia menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi cadangan perpindahan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, tertakluk kepada pematuhan baki keperluan kawal selia.

 

Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan itu berkata, perpindahan berkenaan dijangka mengukuhkan profil korporatnya, meningkatkan keyakinan pelabur serta memperluaskan keterlihatan syarikat dalam kalangan pelabur institusi dan pelabur runcit.

 

Toh sebelum ini berkata, penyenaraian di Pasaran Utama akan meletakkan MN Holdings pada kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor infrastruktur tenaga, pusat data, tenaga boleh baharu, air, gas serta pembangunan berkaitan utiliti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved