
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober depan bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 23 September lalu.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
“Ia akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN DUN Melaka Ke-16 seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media turut akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan secara rasmi, sekali gus menamatkan tanda tanya mengenai tarikh pembubaran DUN Melaka yang menjadi perhatian sejak beberapa minggu lalu.
Ab Rauf berkata, pembubaran yang berkuat kuasa pada 23 September itu dibuat berdasarkan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
Untuk rekod, DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. – KOSMO! ONLINE
The post SPR bincang tarikh penting PRN Melaka 7 Oktober depan appeared first on Kosmo Online.






