
KUALA LUMPUR: Kekosongan kerusi Parlimen Petaling Jaya susulan peletakan jawatan Lee Chean Chung kini dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kekosongan kerusi berkenaan kepada SPR selepas menerima surat peletakan jawatan Lee sebagai Ahli Parlimen pada 2 Oktober lalu.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan keperluan mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat.
Ramli berkata demikian ketika membuat pemasyhuran sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Chean Chung sebelum ini mengemukakan surat untuk melepaskan keahlian sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 2 Oktober lalu.
Perkara itu sekali gus menyebabkan kerusi Parlimen Petaling Jaya menjadi kosong dan seterusnya perlu melalui proses yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang pilihan raya. – UTUSAN
The post SPR dimaklumkan kekosongan kerusi Parlimen Petaling Jaya appeared first on Utusan Malaysia.






