
PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Petaling Jaya selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya, Lee Chean Chung.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya telah menerima pemakluman mengenai pengosongan kerusi Parlimen itu daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui surat bertarikh 2 Oktober lalu.
“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada PRK bagi Parlimen P.105 Petaling Jaya akan dijalankan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Johari dilaporkan telah menerima surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung pada Jumaat lalu.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor memaklumkan perkara itu pada permulaan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Chean Chung dipercayai melepaskan jawatan dan mengumumkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkait dengan keputusan pimpinan menggantung keahlian beliau selama tiga tahun ekoran isu disiplin dan tindakan politiknya sebelum ini.
Untuk rekod, Chean Chung memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu di Pahang selama dua penggal.
Hubungan Chean Chung dengan kempimpinan tertinggi PKR dilaporkan retak dan dingin sejak beliau menghadiri majlis pelancaran Bersama pada Mei lalu, walaupun beliau mempertahankan kehadirannya atas alasan program tersebut dianjurkan dalam kawasan pilihan rayanya. – UTUSAN
The post Tiada pilihan raya kecil Petaling Jaya – SPR appeared first on Utusan Malaysia.






