sarah07/10/2026 - 13:25 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-16, menjadikannya pilihan raya negeri ketiga tahun ini selepas Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November.
Tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon pada 31 Oktober sehingga 13 November.
SPR turut memaklumkan permohonan undi pos bagi PRN Melaka ke-16 telah dibuka sejak 23 September lalu.
Pilihan raya itu melibatkan kesemua 28 kerusi DUN selepas DUN Melaka ke-15 dibubarkan berkuat kuasa pada 23 September bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua.
Ab Rauf terajui Melaka sejak 2023
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengambil alih jawatan Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 31 Mac 2023 selepas Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletakkan jawatan.
Ab Rauf, yang juga ADUN Tanjung Bidara dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, sebelum itu pernah menjadi Speaker DUN Melaka dan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.
Beliau pertama kali bertanding di Tanjung Bidara pada PRN 2021 dan menang dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh 3,559 undi, menewaskan calon PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendapat 3,195 undi serta calon PH, Zainal Hassan dengan 489 undi.
PRN Melaka kali ini berlangsung dalam landskap politik berbeza selepas PH pada Julai lalu menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan BN susulan pertikaian berhubung pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan sehingga tujuh ADUN lantikan.
PRN ketiga selepas Johor dan Negeri Sembilan
Melaka menjadi negeri ketiga mengadakan pilihan raya negeri tahun ini selepas Johor dan Negeri Sembilan, dengan kedua-dua pilihan raya terdahulu menyaksikan BN muncul sebagai parti yang memperoleh kerusi terbanyak.
Pada PRN Johor ke-16 pada Julai, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN manakala PH memperoleh baki lapan kerusi. Kadar keluar mengundi ialah 68.73%.
Di Negeri Sembilan pada Ogos pula, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi, diikuti PH dengan 11 kerusi dan PN tujuh kerusi. Seramai 72.64% pengundi berdaftar keluar mengundi.
Tumpuan di Melaka kini antara lain terarah kepada bentuk kerjasama pilihan raya antara parti, termasuk rundingan BN dengan parti lain serta bagaimana pembahagian kerusi akan dibuat menjelang hari penamaan calon.
Ab Rauf sebelum ini berkata 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN 2021 akan menjadi asas rundingan, sementara keputusan akhir mengenai bentuk kerjasama pilihan raya akan ditentukan kepimpinan parti.
Selain percaturan kerusi dan kerjasama parti, isu tempatan termasuk kesan pertumbuhan pesat sektor pelancongan, kesesakan lalu lintas, pembangunan dan prasarana dijangka menjadi antara perkara yang mendapat perhatian sepanjang kempen.
Walaupun BN menguasai 21 kerusi pada PRN 2021, persaingan ketika itu lebih rapat dari segi undi popular apabila BN memperoleh kira-kira 38.4% undi, berbanding PH 35.8% dan PN 24.3%, menjadikan corak pertandingan serta pemindahan sokongan antara parti antara faktor penting untuk diperhatikan kali ini. - DagangNews.com





