
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi menerima pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Datuk Harun berkata, pihaknya menerima surat pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Haji Ibrahim Durum pada Selasa, dengan pembubaran berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal (2) Perkara 19 Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka.
"Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRN Melaka ke-16,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tarikh mesyuarat khas berkenaan masih belum diumumkan.
Pembubaran DUN Melaka sebelum ini diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Dengan pemakluman rasmi pembubaran itu diterima SPR, proses PRN Melaka ke-16 kini memasuki peringkat seterusnya, termasuk penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian. - Getaran, 23 September 2026






