SPRM Cadang Lucutkan Hak Aset Tun Daim Yang Tidak Diisytihar Lebih RM2 Bilion

LocalPolitics
23 May 2025 • 10:30 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 13 November 2024, bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin telah dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun selepas mengalami strok dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Allahyarham sebelum ini telah berhadapan pertuduhan gagal untuk mengisytiharkan 72 aset miliknya yang didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Baca Artikel Berkaitan: Tun Daim Zainuddin Meninggal Dunia

Walau bagaimanapun, SPRM masih meneruskan siasatan mereka terhadap jejak kewangan aset yang dikaitkan dengan Tun Daim dan keluarganya.

SPRM berusaha lucutkan hak pemilikan harta yang tidak diisytihar lebih RM2 bilion

Terbaharu, SPRM sedang berusaha melucutkan pula hak pemilikan harta tidak diisytihar milik bekas veteran politik itu yang bernilai melebihi RM2 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sejumlah harta bernilai tinggi itu yang dimiliki Tun Daim, keluarga dan rakan sekutunya sedang dibekukan oleh suruhanjaya itu.

“Aset-aset berkenaan sekiranya benar tak diisytihar adalah kesalahan.

“Walau pun ketiadaan Tun Daim lagi, kita sedang menuju ke arah itu (melucutkan harta) dan kita sedang melihat harta-harta berkaitan yang tidak diisytiharkan pada satu ketika dahulu.

“Kemudiannya terpulang kepada pendakwaan untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media di Putrajaya semalam (22 Mei) dipetik MalaysiaKini.

SPRM terima maklumat baru mengenai harta Tun Daim di luar negara

Menurutnya, SPRM baru-baru ini menerima maklumat baru daripada rakan sejawatan mereka di luar negara mengenai dakwaan aset yang dimiliki Tun Daim yang tidak termasuk dalam pengisytiharan asetnya kepada pihak berkuasa.

Katanya, antara negara yang Daim didakwa mempunyai aset termasuk di Switzerland dan United Kingdom.

Jelas Azam, pihak percaya bahawa mereka boleh menemui lebih banyak lagi aset kerana penyiasat masih melihat kekayaan yang disimpan bekas menteri kewangan itu, ahli keluarga dan ‘proksi’ mereka.

SPRM buka 8 kertas siasatan berhubung maklumat itu

Menurutnya lagi, SPRM telah membuka lapan kertas siasatan baru untuk meneliti maklumat tersebut.

Berkongsi lanjut, Azam berkata pada masa ini pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi bagi dipastikan sama ada harta tersebut diperoleh secara betul atau sebaliknya.

“Jadi, dalam kes ini saya telah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan,” katanya.

Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan dari semua pertuduhan

Terdahulu, Allahyarham Tun Daim telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan gagal untuk mengisytiharkan aset.

Keputusan berkenaan dibuat selepas pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa mereka tidak mahu meneruskan prosiding kerana Tun Daim yang merupakan tertuduh telah meninggal dunia.

“Kami dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia,” katanya.

Source: