SPRM-JKDM perlu perjelas peranan pasukan khas tangani ketirisan pelabuhan

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 11:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPRM-JKDM perlu perjelas peranan pasukan khas tangani ketirisan pelabuhan
SPRM, JKDM bersepakat menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras ketirisan dalam pengurusan kontena di bawah bidang kuasa JKDM di pelabuhan seluruh negara.
Image from: SPRM-JKDM perlu perjelas peranan pasukan khas tangani ketirisan pelabuhan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum ini menubuhkan pasukan oetugas khas bagi membanteras sebarang aktiviti ketirisan di pelabuhan.

SHAH ALAM – Penubuhan pasukan petugas khas antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membanteras ketirisan hasil negara disifatkan sebagai langkah tepat, namun peranan, bidang kuasa dan mekanisme pelaksanaannya perlu diperjelaskan bagi memastikan inisiatif itu benar-benar berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua agensi itu mampu memperkukuh penguatkuasaan, khususnya membabitkan pengurusan kontena, penyeludupan, pemalsuan dokumen serta cubaan mengelak pembayaran cukai.

"Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada penjelasan terperinci mengenai cara pasukan petugas khas itu akan beroperasi.

"Kita juga perlu mengetahui sama ada pasukan itu akan memberi tumpuan kepada aspek pemantauan, pencegahan atau tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad di Ibu Pejabat SPRM.

**media[3600664]**

Menurut beliau, kedua-dua agensi turut bertukar pandangan mengenai cabaran pelaksanaan tugas, termasuk pemeriksaan kastam, kerenah birokrasi serta isu operasi yang dihadapi JKDM.

Katanya, pertemuan itu turut memberi fokus kepada mekanisme membanteras ketirisan dalam pengurusan kontena di bawah bidang kuasa JKDM di pelabuhan seluruh negara.

Sementara itu, Amran berkata, JKDM berkongsi maklumat mengenai modus operandi sindiket yang cuba mengelak pembayaran cukai, termasuk melalui aktiviti penyeludupan serta pemalsuan maklumat dan dokumen bagi mendapatkan kelulusan di bawah kategori tertentu.

Mengulas lanjut, Jeyenderan berkata, penjelasan lebih menyeluruh juga diperlukan mengenai kaedah mengukur keberkesanan pasukan petugas khas berkenaan, termasuk sama ada dapatan dan hasil pemantauannya akan dilaporkan kepada masyarakat.

Menurut beliau, ketelusan amat penting dalam isu melibatkan hasil negara bagi memastikan usaha membanteras ketirisan tidak sekadar menjadi simbol kerjasama antara agensi, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan berimpak.

"Kerjasama SPRM dan JKDM sememangnya langkah yang positif untuk memperkukuh integriti sistem perdagangan negara.

"Namun, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang jelas, pemantauan berterusan serta pelaporan yang telus bagi meningkatkan keyakinan rakyat," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved