SPRM masih sekat akaun Padini dan Cropmate, siasatan di bawah AMLA belum selesai

LocalPolitics
6 May 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SPRM masih sekat akaun Padini dan Cropmate, siasatan di bawah AMLA belum selesai Image from: SPRM masih sekat akaun Padini dan Cropmate, siasatan di bawah AMLA belum selesai amree06/05/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 MeiSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akaun bank milik Padini Holdings Berhad dan Cropmate Berhad dibekukan sementara menunggu hasil siasatan rapi.


Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun terdapat permohonan daripada pihak terlibat untuk membuka sekatan tersebut, pegawai penyiasat berpendapat sekatan perlu diteruskan.


Tegasnya, tindakan ke atas akaun dua syarikat tersenarai awam di bawah undang-undang pengubahan wang haram itu dibuat kerana siasatan masih lagi berjalan dan aset kekal disekat buat masa ini.


“Pembekuan aset tersebut masih berlangsung dan pihak berkaitan ada memohon supaya ia dilepaskan, namun, pegawai penyiasat berpandangan yang aset tersebut perlu kekal dibekukan,” kata beliau.


Langkah sekatan akaun berkenaan jelas Azam, dilaksanakan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).


Menurutnya, peruntukan undang-undang tersebut dengan jelas ada menyatakan pihak SPRM diberikan kuasa untuk menyekat aset sekiranya pihak terbabit disyaki ada kaitan dengan aktiviti haram.


Cropmate, yang baru sahaja disenaraikan di Bursa Malaysia, sudah mencabar tindakan pembekuan tersebut dan memaklumkan yang sebahagian daripada akaun banknya telah dibuka semula sebelum ini.


Syarikat itu menegaskan ia tidak menyedari sebarang salah laku melibatkan pihak pengurusan atau pekerja, serta memberi jaminan operasi perniagaan berjalan melalui kemudahan perbankan alternatif.


Dalam perkembangan sama, Padini turut menjelaskan yang akaunnya dibekukan berkaitan siasatan SPRM terhadap pihak ketiga, dan bukan melibatkan kakitangan atau pegawai syarikat tersebut sendiri.


Syarikat peruncitan fesyen itu juga menyatakan tidak mengetahui sebarang salah laku di pihaknya di samping menganggap pembekuan tersebut hanya sebagai sebahagian daripada prosedur biasa siasatan.


Setakat dagangan tengah hari, saham Padini susut satu sen kepada RM1.48 dengan nilai pasaran RM1.46 bilion, manakala Cropmate turun 0.5 sen kepada 19.5 sen, dan permodalan RM143.9 juta.


Situasi ini dilihat memberi tekanan jangka pendek kepada sentimen pelabur, meskipun kedua-dua syarikat menegaskan operasi mereka kekal stabil sementara siasatan dijalankan. - DagangNews.com

Terkini featured standard