SPRM perlu berani, bebas tekanan

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 1:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPRM perlu berani, bebas tekanan
Abd Halim Aman (kiri) menyerahkan cenderamata Korporat kepada Azalina (kanan) semasa kunjungan hormat di Pejabat Menteri, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pada Rabu.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak sebagai sebuah entiti yang berani dan bebas daripada sebarang tekanan atau rasa takut dalam menjalankan setiap siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tindakan itu penting bagi memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara adil dan telus tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak.

Menurutnya, usaha mempertahankan integriti dan prinsip tinggi perlu menjadi keutamaan warga SPRM bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap organisasi berkenaan terus terpelihara.

"SPRM perlu bertindak sebagai sebuah entiti yang berani dan bebas daripada sebarang tekanan atau rasa takut (without fear or favour).

"Setiap siasatan dijalankan secara adil dan telus tanpa melepaskan mana-mana pihak yang terlibat sekali gus mempertahankan keutuhan organisasi supaya tidak tercemar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Pejabat Menteri, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri di sini pada Rabu.

Pertemuan hampir sejam itu turut membincangkan isu berkaitan perundangan serta inisiatif SPRM dalam memperkukuh agenda antirasuah negara.

Abd Halim berkata, langkah berkenaan juga penting bagi memastikan imej, reputasi dan wibawa SPRM sebagai agensi penguatkuasaan negara terus terpelihara daripada sebarang persepsi negatif masyarakat.

Kunjungan hormat itu merupakan sebahagian daripada siri pertemuan strategik Abd Halim selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 13 Mei lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved