SPRM Sahkan Muhyiddin Ditahan, Didakwa Di Mahkamah Kuala Lumpur Esok

Politics
9 Mar 2023 • 7:08 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

SPRM Sahkan Muhyiddin Ditahan, Didakwa Di Mahkamah Kuala Lumpur Esok

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

Suruhanjaya itu berkata Muhyiddin ditahan pada 1 tengah hari tadi selepas hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu daripada Pejabat Peguam Negara.

SPRM memaklumkan Muhyiddin bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa esok.

Bercakap kepada Bernama, Azam berkata ketika ini bekas perdana menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan, selepas Pengerusi Perikatan Nasional itu tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada 11.15 pagi tadi.

Sumber: BERNAMA