
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan notis kepada bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, isteri dan tiga anaknya supaya mengisytiharkan harta mereka dalam masa sebulan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 akan diserahkan kepada empat beranak itu pada Isnin ini.
Tindakan sama akan dilakukan terhadap seorang lagi anak Saravanan pada November ini kerana masih berada di luar negara.
“Mereka telah dimaklumkan dan akan hadir ke ibu pejabat SPRM bagi penyerahan notis tersebut. Tempoh 30 hari diberikan dan jika tidak mencukupi, lanjutan masa akan diberikan sekiranya mereka memohon,” katanya.
Abd Halim berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali kelima 2026 di sini hari ini.
Saravanan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima suapan hampir RM1.09 juta berkaitan kelulusan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat yang didakwa dilakukan empat tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, Abd. Halim berkata, pihaknya masih belum menerima pengisytiharan harta daripada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan keluarganya.
“Kita baru menyerahkan notis pada 15 September. Tunggu sebulan,” katanya. -Bernama
The post SPRM serah notis isytihar harta kepada Saravanan, isteri, tiga anak appeared first on Kosmo Online.






