SPRM sita aset RM4 juta milik pendakwah bebas

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 7:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPRM sita aset RM4 juta milik pendakwah bebas
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai pendakwah bebas pula disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta.

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM4 juta dipercayai milik seorang pendakwah bebas yang juga popular di TikTok, susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.

Menurut sumber, sitaan yang dilakukan pada Jumaat termasuklah pelbagai mata wang asing dan tempatan yang berjumlah wang tunai Riyal 7,325; RM152,155 serta SG$27,134 (Dollar Singapura).

“Hari ini SPRM Negeri Sembilan telah melakukan sitaan terbaharu dan selain ada pertambahan sitaan untuk duit mata wang asing dan tempatan, kami turut menyita pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM2 juta.

“Sehubungan itu nilai sitaan terbaharu semalam dan hari ini berjumlah kira-kira RM4 juta,” katanya pada Khamis.

Menurut sumber, siasatan awal juga mendapati dua ahli jawatan kuasa yang disyaki bersubahat dengan pendakwah bebas tersebut merupakan isterinya yang juga bendahari NGO itu dan seorang lagi adalah setiausaha.

Tambah sumber, siasatan turut mendapati duit yang dipercayai dipindahkan ke akaun bank milik pendakwah bebas itu dan juga ke lapan akaun bank syarikat yang juga milik individu terlibat dilakukan tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain.

Media pada Rabu melaporkan, SPRM Negeri Sembilan telah menahan reman suspek selama lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO di tempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata, lapan syarikat yang terlibat merupakan syarikat-syarikat yang terdiri daripada syarikat percetakan, penerbitan, jualan buku, pemasaran, penjualan produk, pengurusan sumber manusia dan pengurusan duta produk.