SPRM tahan 2 individu disyaki minta, terima rasuah RM1 juta

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 5:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
SPRM menahan dua individu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta daripada pengarah syarikat pembekal pasir - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta daripada pengarah syarikat pembekal pasir sebagai balasan untuk tidak melaporkan perbuatan rasuah syarikat tersebut.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal pasir berusia lingkungan 50-an, ditahan secara berasingan antara jam 2 petang hingga 8 malam, Khamis di sebuah restoran sekitar Pulau Pinang dan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka disyaki melakukan perbuatan tersebut pada Mac lalu.

“Semalam (Khamis), suspek utama telah ditahan melalui satu operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sebuah restoran, di mana tiga keping cek bernilai kira-kira RM1 juta diserahkan kepadanya,” katanya.

Menurut sumber itu, suspek utama turut disyaki mengugut untuk membuat laporan kepada SPRM sekiranya tidak dibayar.

Tambahnya, SPRM turut menyita beberapa barangan lain iaitu empat unit telefon bimbit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Setakat ini, seorang saksi telah diambil keterangan dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009,” ujarnya.