PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi individu kerana disyaki terlibat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan perjalanan berjumlah kira-kira RM4 juta.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu telah direman empat hari sehingga 6 April selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 5 petang Khamis, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan pengurus besar sebuah syarikat peranginan disyaki bersubahat dengan seorang suspek lelaki iaitu penyedia perkhidmatan akaun sebuah syarikat perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan yang sebelum ini telah direman Rabu lalu.
“Penahanan reman ke atas suspek berkaitan kes yang sama iaitu mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan-tuntutan seperti perjalanan dan pengangkutan; yuran perakaunan, pembelian genset serta diesel.
"Selain itu, tuntutan melibatkan pembayaran kad kredit, keraian, perbelanjaan ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE), tunai runcit (petty cash), belanja yang tidak dikenal pasti, pembayaran kerja-kerja landskap dan pembayaran gaji,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan penahanan seorang lelaki yang bekerja sebagai penyedia perkhidmatan akaun sebuah syarikat perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan di ibu negara.
Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an juga telah direman empat hari sehingga 4 April.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 sehingga 2025.
