
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rasuah atau penyelewengan dana merupakan satu kesalahan bukan sahaja dari segi undang-undang negara tetapi ia juga adalah perbuatan yang berdosa.
Ini kerana individu yang melakukan perkara tersebut tidak jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya sehingga ada yang mendapat keuntungan yang dicurigai.
SPRM tahan 3 individu termasuk timbalan pengerusi NGO, disyaki seleweng dana zakat
Terbaharu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertindak menahan tiga individu termasuklah seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat bernilai sekitar RM230 juta.
Memetik laporan Berita Harian, difahamkan dua suspek telah ditahan sekitar jam 3 hingga 5 petang dalam satu operasi sekitar Lembah Klang, semalam (21 April). Dua suspek ditahan itu berusia sekitar 50 dan 60-an.
Menurut sumber akhbar itu lagi, seorang lagi individu yang ditahan berusia 50-an dan dia ditahan sewaktu hadir di pejabat SPRM sekitar jam 2 petang semalam (21 April) untuk memberikan keterangan.

Disyaki bersubahat seleweng dana zakat di antara 2018-2024
Hasil siasatan awal yang dilakukan mendapati kesemua individu ditahan yang mana dua dari mereka merupakan pengarah syarikat telah disyaki bersubahat melakukan perkara tersebut di antara 2018-2024.
“Hasil siasatan awal turut mendapati timbalan pengerusi NGO terbabit dipercayai sudah memindahkan RM230 juta ke dalam syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.
“Siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO itu adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli turut mengesahkan penahanan tiga individu berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009. Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majisteret Shah Alam di Selangor, esok (22 April) untuk permohonan reman.”

18 kenderaan mewah disita termasuk jam tangan berjenama, wang tunai, 33 akaun bank dibeku
Memetik Berita RTM, ekoran daripada penahanan terbabit SPRM turut menyita sebanyak 18 kenderaan mewah termasuklah jenama Porsche serta Mercedes dan juga jam tangan berjenama serta wang tunai.
Selain itu, 33 akaun bank juga dibekukan bernilai RM120 juta serta penyitaan hartanah yang dianggarkan mencecah sekitar RM11 juta.







