SPSB persoal dakwaan Felda rugi RM1.7 bilion

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPSB persoal dakwaan Felda rugi RM1.7 bilion
Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) mempersoalkan dakwaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal mengalami kerugian RM1.7 bilion berhubung projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak.

KUALA LUMPUR - Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) mempersoalkan dakwaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal mengalami kerugian RM1.7 bilion berhubung projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak.

Peguam SPSB, Amrit Pal Singh, berkata asas fakta dan pengiraan bagi jumlah kerugian itu perlu diperjelaskan dengan mengambil kira kos sebenar pembangunan sekiranya Felda membangunkan tanah berkenaan sendiri.

Menurutnya, kos tersebut termasuk khidmat arkitek, perunding dan pakar, selain perbelanjaan mendapatkan kelulusan jabatan kerajaan.

Beliau berkata, SPSB menawarkan model pembangunan bernilai kira-kira RM8 bilion menggunakan dana sendiri, sekali gus tidak memerlukan Felda menanggung keseluruhan kos pembangunan.

Dalam prosiding semalam, Amrit turut menegaskan pelantikan SPSB sebagai pemaju utama (Master Developer) dibuat menerusi proses dan keputusan di peringkat lembaga pengarah Felda.

Katanya, perkara itu disokong keterangan saksi pertama, Mohamed Ghouse Shajahan, yang bersetuju berdasarkan minit mesyuarat bahawa Felda melantik SPSB sebagai pemaju utama.

Beliau berkata, Felda turut meminta penilaian terhadap cadangan projek itu, manakala Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) meneliti pembentangan sebelum memutuskan untuk meneruskan pelantikan berkenaan.

Amrit turut mempersoalkan mengapa kontrak antara Felda dengan SPSB masih belum dibatalkan meskipun pelbagai dakwaan dibangkitkan berhubung projek pembangunan berkenaan.

Menurutnya, kedudukan kontrak itu perlu dilihat bersama pelaksanaan projek yang sudah dimulakan di atas tanah Felda.

Beliau mendakwa SPSB telah membelanjakan antara RM450 juta hingga RM500 juta bagi pembangunan projek itu, selain memberikan RM10 juta kepada Felda, manakala kos pembinaan ditanggung SPSB tanpa pengeluaran wang oleh Felda.

Amrit berkata, bangunan lama di Lot 390 telah dirobohkan sebelum pembangunan baharu dimulakan, dengan kerja pembinaan termasuk ruang bawah tanah (basement) telah disiapkan dan struktur bangunan kini mencapai tingkat lapan.

Justeru, beliau berkata, perbelanjaan, struktur pembiayaan dan kemajuan fizikal projek perlu dipertimbangkan secara menyeluruh ketika menilai dakwaan kerugian RM1.7 bilion itu.

Prosiding berkenaan membabitkan saman Felda dan FIC terhadap 21 defendan berhubung projek KLVC. Felda dan FIC memfailkan tindakan itu pada 2019, manakala SPSB turut mengemukakan tuntutan balas berkaitan perjanjian pembangunan berkenaan.

Menerusi tuntutan balas itu, SPSB memohon supaya terma perjanjian pembangunan dihormati atau, sebagai alternatif, menuntut ganti rugi melebihi RM1 bilion daripada pihak-pihak berkaitan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved