ALOR SETAR – Selepas 12 tahun terbengkalai sejak 2013, projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang di Padang Besar akhirnya berjaya diselesaikan dan dijangka mula beroperasi pada tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kejayaan menyiapkan projek berkenaan membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani dalam menyelesaikan projek sakit yang sekian lama tertangguh.
Menurutnya, SSM Perlis bakal menjadi pusat kecemerlangan sukan bagi zon utara sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai anak muda menggilap bakat dalam bidang sukan menerusi sistem pendidikan dan latihan lebih tersusun.
Beliau berkata, kumpulan pertama seramai 75 murid Tingkatan Satu dijangka memulakan persekolahan pada Jun 2027.
“Daripada jumlah itu, 52 murid lelaki dan 23 murid perempuan akan mengikuti enam jenis sukan iaitu badminton, bola jaring, bola sepak, memanah, olahraga dan sepak takraw.
“Pelaksanaan Fasa 2 dengan peruntukan RM104 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pula akan terus memperluas kapasiti serta cabang sukan yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan SSM Perlis bakal beroperasi sepenuhnya tahun depan.
Menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya pada Jumaat, beliau berkata, pengoperasian institusi berkenaan menandakan penyelesaian kepada sebuah projek sukan penting yang tertangguh sekian lama demi kemajuan atlet muda negara.
Dr Mohammed Taufiq berkata, pengoperasian sekolah berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dengan penempatan pentadbir dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) bermula Januari 2027.
Katanya, penempatan guru dan jurulatih pula dijadualkan pada Mac tahun sama, diikuti sesi pengenalpastian bakat atau Talent Identification (TID) pada April 2027.
“Seramai 15 guru, 15 jurulatih dan 11 AKP akan ditempatkan bagi memastikan keseimbangan antara pencapaian akademik, kecemerlangan sukan, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan murid,” ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan Perlis meraih 17 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 membuktikan negeri itu mempunyai potensi besar dalam melahirkan atlet berkualiti.
Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan serta persatuan sukan bagi memperkukuh laluan pembangunan atlet bermula peringkat sekolah hingga ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.






