
14 tahun lalu, Cloud Imperium Games telah membuka laman biayasama permainan simulasi angkasa Star Citizen di platform biayasama Kickstarter dan telah meraih pembiayaan sebanyak $2.3 juta dalam masa sebulan sahaja, yang menjadikan permainan tersebut sebagai salah satu projek yang paling tinggi dibiaya di platform tersebut.
CIG kemudiannya telah meneruskan pembiayaan permainan tersebut di platform mereka sendiri, sambil membangunkan permainan tersebut. 14 tahun kemudian, CIG telah membangunkan enjin baharu Star Engine untuk permainan ini, disamping kandungan ujian beta dan juga permainan-permainan lain seperti Arena Commander, Star Marine dan The Hangar Module sebagai permainan-permainan yang boleh dimainkan sementara menunggu Star Citizen untuk siap dibina.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa pembiayaan Star Citizen kini telah melangkaui $1 bilion (~RM3.95 bilion), melihat kepada laman biayasama Star Citizen baru-baru ini. Kebanyakan embiayaan ini hadir melalui kapal-kapal angkasa digital yang dijual oleh CIG sepanjang 14 tahun ini, sementara Star Citizen masih sedang dibangunkan, dan kini masih berada dalam fasa pembangunan alpha terbuka yang mana orang ramai boleh memuat-turunnya dan mencuba sendiri apa yang sedang dibangunkan oleh CIG.
Setakat ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah Star Citizen akan akhirnya sedia dimainkan oleh pembiaya. CIG juga dilihat sedang membangunkan permainan Squadron 42, permainan tunggal berasaskan dunia Star Citizen, yang dikatakan akan siap dibangunkan pada tahun ini, tetapi setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah permainan ini akan dilancarkan.
[sumber]Insider Gaming[/sumber]




