
PETALING JAYA – Status baki hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International perlu dirujuk segera kepada mahkamah bagi mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, perkara itu penting bagi menentukan sama ada hukuman SRC International masih berkuat kuasa atau telah selesai dari segi undang-undang susulan pembayaran denda RM50 juta dan pengeluaran Perintah Pelepasan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu.
Katanya, persoalan itu mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditetapkan bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.
“Sekiranya hukuman SRC International masih berkuat kuasa, baki hukuman berkenaan boleh diteruskan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang membolehkan Najib menjalani hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
“Sebaliknya, jika hukuman SRC International telah selesai dari segi undang-undang, kesannya terhadap tarikh permulaan hukuman dalam kes 1MDB perlu ditentukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, persoalan ini mempunyai kaitan langsung dengan perintah hukuman Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB, yang menetapkan bahawa hukuman penjara dalam kes tersebut hendaklah bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.
Dalam pada itu, AGC menegaskan pihaknya tidak mempertikaikan, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Sebaliknya, persoalan yang dibangkitkan bukan mengenai kesahan perintah pengampunan itu, tetapi kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi terhadap baki hukuman SRC International serta implikasinya terhadap hukuman dalam kes 1MDB.
“AGC turut menolak dakwaan bahawa tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan percubaan mengambil alih kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda,” katanya.
Menurut AGC, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah merupakan dua perkara berbeza.
“Langkah ini bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya untuk mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan perintah-perintah yang berkuat kuasa serta memastikan bahawa tiada hukuman dilaksanakan secara tidak sah,” katanya.
AGC turut menjelaskan penentuan segera oleh mahkamah penting bagi memelihara hak Najib sendiri kerana sekiranya hukuman SRC International telah selesai, penerusan tahanan atas dasar hukuman tersebut boleh menyebabkan beliau menjalani tahanan melebihi tempoh sepatutnya.- KOSMO! ONLINE
The post Status baki hukuman Najib perlu dirujuk segera – AGC appeared first on Kosmo Online.






