Status penduduk empat rumah di Taman Sri Rambai ditentukan Isnin ini

30 Oct 2026 • 2:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Status penduduk empat rumah di Taman Sri Rambai ditentukan Isnin ini
Mooi Lye (kiri), Chin Kooi (tengah) dan Rajendran menerangkan langkah mitigasi yang diambil pada kawasan runtuhan di Taman Sri Rambai, Paya Terubong Ahad lalu.

GEORGE TOWN – Empat rumah di Taman Sri Rambai, Paya Terubong di sini masih perlu dikosongkan sehingga mendapat kebenaran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan seorang doktor lelaki berusia 73 tahun pada 25 Oktober lalu.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, tempoh penduduk terbabit perlu meninggalkan kediaman masing-masing belum dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada hasil siasatan serta penilaian keselamatan oleh JKKP.

Menurutnya, notis pengosongan sudah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan penduduk tidak boleh kembali ke rumah masing-masing tanpa kebenaran pihak berkuasa berkenaan.

“Pada masa ini, empat rumah perlu dikosongkan dan notis berkaitan sudah dikeluarkan.

“Kita tidak boleh menetapkan bila penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing tanpa mendapat kebenaran JKKP memandangkan siasatan masih dijalankan jabatan berkenaan,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini insiden tanah runtuh itu di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah Kejuruteraan MBPP, Cheah Chin Kooi dan Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran.

Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73 maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang turut menjejaskan kediamannya.

Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68 dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, 80-an bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada 2 November ini, jam 2.30 petang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi membincangkan perkembangan siasatan, status pelaksanaan kerja mitigasi serta tindakan susulan yang perlu diambil.

Katanya, mesyuarat yang akan dipengerusikannya itu turut melibatkan JKKP, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, MBPP, polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"JKKP sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada 29 Oktober lalu bagi mengenal pasti punca sebenar runtuhan cerun berkenaan.

"Jabatan itu juga dijangka memanggil semua pihak yang terlibat untuk mendapatkan gambaran tepat mengenai kejadian sebelum tindakan lanjut diambil sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, MBPP sudah mengeluarkan notis pemberhentian kerja tanah di tapak projek berkenaan pada 25 Oktober lalu mengikut Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Katanya, pihak pemaju dan perunding turut diarahkan melaksanakan beberapa langkah keselamatan serta mitigasi segera bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.

"Antara langkah ditetapkan ialah mengasingkan kawasan runtuhan dengan memasang penghadang keselamatan serta mengosongkan kawasan berisiko dalam tempoh 24 jam.

"Selain itu, pemaju diminta mengawal aliran air permukaan dengan menyalurkan air larian dari bahagian atas cerun menerusi saliran sementara yang selamat selain memeriksa sistem saliran sedia ada bagi mengenal pasti kemungkinan limpahan atau kebocoran," katanya.

Mooi Lye menambah, permukaan tanah dan cerun yang terdedah juga perlu ditutup menggunakan geotekstil atau sistem perlindungan sementara bersesuaian bagi mengurangkan kemasukan air hujan ke dalam tanah.

"Bagi keseluruhan tapak projek pula, pihak pemaju diarahkan mengemukakan laporan pemeriksaan dalam tempoh tujuh hari termasuk pemetaan kawasan cerun berisiko dan pelan mitigasi.

"Mereka turut diminta mengemukakan pindaan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) berdasarkan keadaan semasa tapak serta melaksanakan langkah penstabilan sementara mengikut penilaian dan arahan jurutera bertauliah," ujarnya.

Mengulas pelaksanaan mitigasi di lokasi, beliaua berkata, pihak pemaju sudah mengambil langkah awal termasuk menutup kawasan cerun terdedah menggunakan geotekstil bagi mengurangkan kemasukan air hujan.

"Selain itu, benteng sementara turut dibina bagi mengalihkan aliran air dari bahagian atas bukit supaya tidak melimpah ke kawasan cerun berkenaan sebelum disalurkan ke longkang terbuka," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MBPP turut mengeluarkan surat kepada pihak pemaju dan perunding pada 26 Oktober lalu bagi mendapatkan pengesahan keselamatan cerun berhampiran kediaman yang terjejas.

Katanya, pengesahan itu penting bagi memastikan tahap keselamatan cerun dinilai secara profesional sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat berhubung kediaman penduduk.

Mengulas dakwaan bahawa cerun di kawasan berkenaan tidak stabil sehingga kerja-kerja penstabilan pernah dilakukan beberapa kali sejak 2018, Rajendran berkata, kerja penstabilan cerun dilaksanakan sebagai langkah keselamatan sebelum sebarang pembangunan dijalankan.

Menurutnya, kerja berkenaan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pembinaan jalan atau kerja pembangunan lain dapat dimulakan di tapak tersebut.

"Semua pelan pembangunan juga sudah melalui penilaian beberapa perunding serta pemeriksa selain penelitian Jawatankuasa Kebenaran Merancang Kawasan Bukit yang turut melibatkan MBPP, JKKP dan JMG.

"Semua kerja dilaksanakan berdasarkan pelan yang diluluskan dan syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang kesimpulan mengenai kemungkinan wujud kecuaian atau salah laku dalam kejadian itu perlu menunggu hasil siasatan JKKP.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, kerajaan negeri ketika ini memberi keutamaan kepada pelaksanaan langkah mitigasi sementara bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang, khususnya ketika hujan lebat.

Beliau turut memaklumkan urusan kebajikan penduduk yang terjejas termasuk bantuan berkaitan kediaman dan tempat tinggal sedang diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Terubong, Wong Hon Wai.

Katanya, Hong Wai sedang menguruskan perkara berkenaan bersama pihak pemaju bagi memastikan kebajikan mangsa dan penduduk yang terlibat diberikan perhatian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved