
SELEPAS kembali bergandingan pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark minggu lalu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak menunggu lama apabila berjaya menyambar gelaran Terbuka Perancis.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Grand Paris malam kelmarin, pasangan No.11 dunia itu mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-7 ke atas rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Lebih manis, kejuaraan tersebut merupakan gelaran pertama buat beregu yang diberi julukan ManTee itu dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan status Super 750.
Wei Chong berkata, dia dan Kai Wun pada awalnya tidak meletakkan sebarang sasaran dalam beberapa kejohanan terbaharu, termasuk Terbuka Perancis kerana dia baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut.
“Mengenai persiapan untuk final, sebenarnya kami tidak terlalu fikir mengenai menang atau kalah kerana menganggap diri kami sebagai underdog. Jadi, apa yang paling penting adalah untuk pamerkan aksi terbaik.
“Sebenarnya kami tidak meletakkan sebarang sasaran dalam beberapa kejohanan ini kerana saya juga baru pulih daripada kecederaan. Tekanan tidak berada di pihak kami, jadi dapat bermain lebih baik,” katanya kepada BWF.
Kemenangan yang diraih Wei Chong-Kai Wun turut menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau selama 22 tahun selepas kali terakhir beregu lelaki negara memenangi Terbuka Perancis adalah pada 2004 menerusi gandingan Gan Teik Chai-Koo Kien Keat.
Sementara itu, Kai Wun pula mengakui dia sangat merindui untuk kembali bergandingan bersama Wei Chong, lebih-lebih lagi mereka berdua sudah lama digandingkan sebelum dipisahkan buat seketika.
“Memang sangat rindu untuk bermain dengan dia (Wei Chong) kerana kami sudah bersama lebih enam tahun. Sekarang kami sudah kembali digandingkan, jadi saya harap kami boleh kekalkan rentak seperti ini,” ujarnya.
The post Status underdog bantu ManTee tenang muncul juara appeared first on Kosmo Online.






