
KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan kemarau kejuaraan lebih setahun dalam saingan Jelajah Dunia selepas merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Grand Paris sebentar tadi, gandingan No.11 dunia itu mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-7 ke atas pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Turun sebagai beregu bukan pilihan, Wei Chong-Kai Wun bermula dengan langkah kurang sempurna apabila memberi peluang kepada bekas gandingan No.1 dunia itu untuk menguasai set pertama.
Walaupun cuba mengejar dan merapatkan kedudukan, namun Sze Fei-Izzuddin berjaya mengekalkan fokus sebelum memastikan kemenangan pertama menerusi keputusan 21-13.
Bersambung set kedua, Wei Chong-Kai Wun kemudiannya memperkemaskan permainan mereka dan menampilkan aksi lebih baik untuk berada di depan 11-9, sekali gus menyalakan harapan untuk mengheret perlawanan ke set ketiga.
Semangat tidak putus asa yang ditampilkan nyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya memenangi set kedua 21-15, sekali gus memaksa Sze Fei-Izzuddin untuk beraksi hingga set penentuan.
Sebaik sahaja perlawanan memasuki set ketiga, Wei Chong-Kai Wun mempamerkan aksi cukup dominan apabila menguasai sepenuhnya permainan dengan jurang mata cukup besar 11-4 sebelum memastikan kejuaraan dengan kemenangan 21-7.
Menerusi kejuaraan yang diraih, Wei Chong-Kai Wun meraih hadiah wang tunai AS$70,300 (RM287,196) berserta trofi manakala Sze Fei-Izzuddin menerima AS$33,250 (RM135,836) dan trofi.
Sebagai rekod, kali terakhir mereka bergelar juara dalam saingan Jelajah Dunia adalah ketika memenangi kejohanan Malaysia Masters yang berlangsung Mei tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Perancis: Kejuaraan milik Wei Chong-Kai Wun appeared first on Kosmo Online.





