Steam Deck 2 Mungkin Akan Dilancarkan Pada Tahun 2028

TechnologyGaming
3 Apr 2026 • 5:44 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Steam Deck merupakan peralatan elektronik yang dilihat mempopularkan konsep konsol permainan mudah-alih PC, dan telah mempopularkan peranti gaming bersaiz mudah-alih tersebut dengan jenama-jenama popular seperti ASUS, MSI dan Lenovo memperlihatkan penawaran mereka sendiri.

Valve sebelum ini mengatakan bahawa mereka hanya akan memperkenalkan versi konsol baru apabila mereka melihat ada sebuah cip pemprosesan baru yang hadir dengan kos dan prestasi yang boleh meyakinkan mereka untuk memperkenalkan konsol baru.

image is not available

Terkini, terdapat laporan yang mengatakan bahawa Valve membuat keputusan untuk menggunakan cip pemprosesan APU AMD yang boleh didapatkan dengan lebih mudah. Ini adalah supaya mereka boleh menggunakan komponen yang terbaru di pasaran, dan mengurangkan kebarangkalian cip yang dihasilkan akan ditinggalkan dengan cepat, melihat kepada betapa pesatnya pengeluaran cip pemprosesan komputer pada hari ini.

Steam Deck dikuasakan oleh cip pemprosesan “Aerith”, iaitu cip pemprosesan AMD tersuai yang dibangunkan khusus untuk platform tersebut. Sejak itu, AMD telah memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 dan Ryzen Z2, manakala Intel pula telah memperlihatkan cip Meteor Lake, Lunar Lake dan terkini Panther Lake yang boleh dimanfaatkan oleh pembangun permainan konsol juga.

Tiada butiran lain yang diperlihatkan mengenai konsol baru ini, kecuali bahawa ia akan dilancarkan pada tahun 2028 kelak. Buat masa ini, Valve dilihat sedang bersiap-sedia untuk melancarkan konsol permainan ruang tamu Steam Machine dan juga set fon kepala realiti maya Steam Frame.