
Dalam pasaran dimana banyak jenama powerbank yang mengeluarkan produk mereka dengan kapasiti bateri yang besar sekali dengan pengecasan pantas untuk peranti-peranti mudah alih. Namun Xiaomi muncul mengambil langkah yang bertentangan sedikit apabila mereka mengeluarkan Xiaomi UltraThin Magnetic Power Bank 5000. Adakah powerbank yang nipis dan berkapasiti 5000 mAH ini sudah mencukupi untuk penggunaan seharian?. Teruskan membaca artikel ulasan ini untuk ketahui lebih lanjut.

Spesifikasi
| Kapasiti Bateri | 5000mAH |
| Port Sambungan | 1x USB-C |
| Piawaian Pengecasan | Nirwayar Qi2 |
| Kuasa Input | USB-C: 5V⎓3A / 9V⎓2.5A 22.5W Max |
| Kuasa Output | USB-C: 5V⎓3A / 9V⎓2.5A 22.5W Max Nirwayar: 15W (iPhone 7.5W) |
| Aksesori | Tiada |
| Mesra Pesawat | Ya |
| Berat | 98g |
| Harga Jualan | RM 259 |
Seperti yang tertera pada nama powerbank ini, ia adalah sejenis powerbank magnetik dengan kapasiti 5000mAH. Xiaomi memasarkan powerbank ini bukan sahaja untuk peranti keluaran mereka malah jenama lain terutamanya iPhone yang mempunyai Magsafe dan Pixel dengan PixelSnap. Mungkin sudah tiba masanya peranti Xiaomi dilengkapi dengan sistem magnetik tersendiri juga.

Dengan kapasiti 5000mAH, sudah semestinya powerbank ini sangat selamat untuk dibawa masuk dalam kapal terbang malah ia dilengkapi dengan pensijilan CCC untuk ke China. Keseluruhan tubuh diperbuat dari bahan jenis aluminium kecuali pada tempat pengecas magnetik. Ia sekaligus membuatkan powerbank ini terasa premium apabila dipegang dengan tahap kenipisan hanya 6mm sahaja.

Bahagian bawah terdapat butang kuasa untuk menyemak tahap bateri atau mulakan pengecasan, lubang USB-C untuk tujuan mengecas semula powerbank ini atau mengecas peranti secara berwayar dan terdapat empat LED putih sebagai penunjuk untuk tahap bateri dalam powerbank.

Dari segi sistem pengecasan, powerbank menyokong pengecasan Qi2 15W namun kepada peranti iPhone ia mampu mengecas pada kadar 7.5W. Ia juga boleh menggunakan pengecasan secara berwayar melalui USB-C dengan kelajuan sehingga 22.5W.
Pengalaman Penggunaan
Powerbank ini tiada apa-apa ciri tambahan yang menarik seperti boleh disambungkan ke aplikasi dan sebagainya. Ini adalah powerbank yang berfungsi sama seperti powerbank yang lain di pasaran sekarang. Jika anda menggunakan secara nirwayar hanya letakkan di belakang dan ia akan mengecas, proses yang sama juga untuk mengecas secara berwayar.

Untuk menguji powerbank ini, saya menggunakan dua peranti iaitu, Nothing Phone (3) dan juga iPhone 17. Apa yang saya dapati adalah powerbank ini agak cepat memanas semasa digunakan sama ada secara berwayar atau nirwayar. Ini memberikan pengalaman yang kurang selesa lebih-lebih lagi apabila letakkan powerbank ini dalam poket seluar untuk mengecas peranti.


Dari segi kelajuan mengecas, apabila menggunakan secara berwayar sudah semestinya lebih pantas dimana saya boleh mengecas Nothing Phone (3) dari 50% hingga 80% lebih kurang 30 minit. Jika secara nirwayar agak perlahan lebih lagi dengan iPhone kerana hanya mampu mengecas pada 7.5W sahaja jadi bateri 50% hingga 80% memakan 1 jam.

Kekerapan mengecas pula tidaklah terlalu tinggi untuk powerbank berkapasiti 5000mAH ini, Nothing Phone (3) boleh dicas dalam 2 kali sahaja dan itu bukan lah dari 0%. Untuk iPhone 17 pula, ia boleh dicas dalam 2.5 kali kerana bateri yang lebih kecil. Bagi saya, powerbank ini hanya bertindak untuk ‘topup’ bateri peranti anda dan bukanlah powerbank untuk mengecas peranti dari kosong sehingga penuh. Mengecas semula powerbank ini memakan masa yang lama hanya 1 jam kerana ia menggunakan kelajuan yang sama seperti output melalui USB-C iaitu 22.5W
Kesimpulan

Pada pandangan saya, Xiaomi UltraThin Magnetic Powerbank 5000 ini agak sesuai untuk jadi powerbank harian anda jika anda tidak menggunakan peranti anda secara kerap diluar dan boleh akses tempat pengecasan seperti di pejabat dengan mudah. Kapasitinya yang kecil ini agak tidak praktikal untuk saya untuk jadikan powebank ini sebagai powerbank harian namun tubuhnya yang nipis ini sangat memudah untuk menyimpan jika dibandingkan dengan saiz powerbank yang ada dipasaran sekarang.
Harga jualan untuk Xiaomi UltraThin Magnetic Powerbank 5000 adalah RM259, harga jualan sebegini sememangnya akan menimbulkan perkataan ‘baik beli’ dari kebanyakan orang termasuklah saya sendiri.
PRO
- Nipis dan ringan.
- Kualiti binaan yang baik.
- Sesuai untuk semua jenis peranti.
- Selamat untuk dibawa dalam kapal terbang.
KONTRA
- Cepat memanas.
- Harga yang agak mahal.



![[Review] Perkenalkan Xiaomi UltraThin Magnetic Power Bank 5000 15W, Luar Biasa Nipis & Ringan!](https://cdn.newswav.com/img/topic/technology.jpeg)